suria

4 Pesilat Layak Ke Akhir, Peluang Raih 2 Emas

VIENTIANE: Empat pesilat kebangsaan melayakkan diri ke perlawanan akhir acara pencak silat dan berpeluang untuk sekurangkurangnya meraih dua pingat emas daripada acara itu esok.

Selepas kesemua pesilat negara gagal memenangi pingat emas dalam acara Silat Seni apabila tewas kepada pesaing daripada Indonesia, sandaran emas skuad silat negara kini dipikul di bahu tiga pesilat lelaki dan seorang wanita untuk menamatkan kemarau emas daripada acara itu.

Mereka ialah Mohd Hafiz Mahari dalam kelas A bawah 50kg, Mohd Fauzi Khalid (kelas F bawah 75kg) dan Faizal Abdullah (kelas H bawah 85kg) dan Emy Latip (kelas C bawah 55kg wanita).

"Kita meletakkan harapan yang tinggi di kalangan empat pesilat ini terutamanya daripada Faizal dan Emy untuk menyumbang pingat emas yang dihajatkan selepas kecewa dalam beberapa edisi sebelum ini. Di Korat, kita hanya membawa pulang satu pingat perak tetapi kali ini adalah peluang terbaik kita," kata pengurus pasukan silat negara Osman Nok kepada Bernama.

Bagaimanapun, Osman berkata beliau agak bimbang dengan keputusan berat sebelah yang sering dilakukan oleh para juri yang dialami pesilat negara dalam acaraacara yang lepas.

"Setakat ini kesemua pesilat negara menunjukkan prestasi yang baik dengan berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir dan mereka tidak mempunyai masalah untuk menewaskan lawan masingmasing. Tapi yang dibimbangkan ialah keputusan berat sebelah dari segi pemberian markah," katanya.

Beliau telah menasihatkan pesilatpesilat berkenaan untuk memberi tumpuan, konsistensi dan prestasi mereka supaya berada di tahap yang terbaik ketika perlawanan akhir itu.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung esok di Pusat Dagangan Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Laos, Mohd Hafiz menentang pesilat Vietnam, Truong Van Mao; Mohd Faizal Abdullah bertemu Chanon Ontakool dari Thailand; Mohd Fauzi bertemu pesilat tuan rumah, Okhe Botsavang, manakala Emy menentang pesilat Thailand, Jurata Noytapa. Setakat ini skuad silat negara meraih enam pingat gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain