suria

Ahmad Shabery Mahu Skuad Bola Sepak Raih Emas Sukan SEA Laos

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek mahu skuad bola sepak bawah 23 tahun negara menamatkan penantian 20 tahun pingat emas pada Sukan SEA Laos yang sedang berlangsung.

"Saya seboleh-bolehnya mahu lagu Negaraku dimainkan pada temasya dwi tahunan itu khusus untuk acara bola sepak.

"Namun, kita tidak boleh memperkecilkan kemampuan pasukan seperti Laos dan Vietnam kerana mereka mempunyai semangat yang tinggi walaupun skuad kita telah menyingkirkan juara bertahan, Thailand," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan futsal Kem Riadah Hadhari KEMAS Wilayah Persekutuan hari ini.

Ahmad Shabery berkata untuk saingan Sukan SEA kali ini, pemain-pemain negara mempunyai kelebihan dari segi kecergasan dan taktikal seperti yang disaksikan oleh beliau sendiri, ketika mereka bertemu Kemboja sebelum ini.

"Kegelapan di dalam arena bola sepak negara mungkin akan dapat berakhir dan era baru akan bermula jika kecemerlangan yang ditunjukkan ini berterusan," katanya. Skuad bimbingan jurulatih K.Rajagobal itu berjaya menempah tiket ke separuh akhir semalam setelah menewaskan Thailand, 21 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A untuk muncul naib juara kumpulan di belakang Vietnam.

Keputusan itu sekaligus membolehkan Malaysia menyingkirkan Thailand yang juga merupakan juara bertahan bola sepak selain tidak pernah terlepas saingan separuh akhir Sukan SEA secara berturut-turut sejak 36 tahun lepas.

Malaysia dilihat mempunyai peluang cerah untuk mara ke perlawanan akhir dan meraih emas apabila bertemu tuan rumah, Laos selaku juara kumpulan A di peringkat separuh akhir manakala Vietnam menentang Singapura pada perlawanan Isnin ini.

Kali terakhir skuad bola sepak negara meraih emas adalah pada tahun 1989 ketika temasya dwi tahunan itu berlangsung di Kuala Lumpur dengan menewaskan Singapura 31.

Ahmad Shabery juga berkata beliau telah membentangkan pada mesyuarat kabinet semalam berhubung keperluan untuk menubuhkan tabung pembangunan bola sepak negara.

"Ini kerana program-program pembangunan bola sepak memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan kita akan memanggil pihak-pihak terbabit seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia, media dan pihak penaja dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara ini," katanya.

Beliau berkata langkah penubuhan tabung terbabit dilihat bertepatan dengan acara bola sepak yang merupakan sukan rakyat.

Sementara itu, mengenai pencapaian lapan pingat emas kontinjen negara sehingga semalam, Ahmad Shabery berkata ia (kutipan pingat) masih di dalam landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 30 hingga 35 pingat emas seperti yang telah ditetapkan.

"Walaupun kita gagal meraih emas di dalam acara yang disasarkan seperti menembak terdapat juga acaraacara lain yang tidak disasarkan berjaya menyumbang emas," katanya.

Beliau turut menjangkakan kutipan pingat emas negara akan terus meningkat melalui beberapa acara yang akan bermula dalam masa terdekat seperti badminton, memanah dan olahraga. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain