suria

Bryan Sumbang Pingat Emas Ketiga Negara, Cipta Hatrik 3 Sukan SEA

VIENTIANE: Penerjun negara, Bryan Nickson Lomas membuktikan keunggulannya dalam acara terjun 10m platform lelaki pada Sukan SEA ke-25 selepas menyumbang pingat emas ketiga buat negara, yang juga pingat emas ketiganya dalam acara itu buat tiga kali berturut-turut dalam sukan SEA.

Acara terjun yang membuka gelanggangnya di Kolam Renang Kompleks Sukan Nasional, Bryan, 19, berjaya mengumpul 476.15 mata daripada enam terjunan meninggalkan pesaing terdekat Muhammed Nasrullah dari Indonesia dengan kelebihan 54.50 mata.

Pingat gangsa acara itu dimenangi Rexel Ryan Fabriga dari Filipina yang mengumpul 413.95 mata.

"Saya berbangga kerana dapat mempertahankan pingat emas acara ini untuk kali ketiga berturut-turut. Saya berpuas hati dengan corak terjunan dan kurang membuat kesilapan.

"Pertandingan dalam Sukan SEA ini juga cukup mencabar. Penerjun dari Filipina dan Indonesia sentiasa mengekori saya dengan rapat. Jika saya buat kesilapan yang ketara, mungkin mereka dapat mengatasi saya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurut Bryan, sesi latihan yang dijalankan di Kunming, China pada November lepas banyak membantunya meningkatkan persembahan khususnya dari segi darjah kesukaran (DD) terjunan.

"Di sana (Kunming) saya mempelajari dua lagi DD baru dan saya aplikasikannya dalam pertandingan di sini. Saya gunakannya semasa melakukan terjunan yang ketiga dan keempat," katanya.

Selepas ini, Bryan akan bergandingan dengan Yeo Ken Nee dalam acara 3m papan anjal seirama, Ahad ini.

"Ini kali kedua saya bergandingan dengan Ken Nee. Kali pertama kami bersama ialah pada Kejohanan Terjun Asia di Foshan. Saya berharap penampilan kedua dalam acara ini akan membuahkan hasil," kata Bryan.

Pada kejohanan berkenaan, gandingan BryanKen Nee berjaya meraih pingat perak.

Bryan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Rossharisham Roslan yang kini sedang berehat akibat kecederaan lutut. BERNAMA

Artikel Lain