suria

Wisma Putra Kesal Dan Terkilan Kesulitan Skuad Bola Sepak Negara Ke Vientiane

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar semalam melahirkan rasa kesal dan terkilan atas kesuiltan yang dihadapi oleh skuad bola sepak bawah 23 negara yang gagal berlepas awal ke Vientiane, Laos, semalam bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2009.

"Kementerian kesal atas kejadian yang tidak dijangka berlaku itu dan ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan negara pada kejohanan itu," menurut kenyataan kementerian itu di sini semalam.

Bagaimanapun, pasukan negara telah selamat sampai di ibu negara Laos itu pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan semalam dengan menaiki penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Skuad negara itu dijadual berlepas semalam untuk melakukan latihan penyesuaian diri sebelum memulakan saingan menentang Timor Leste dalam Kumpulan A pada pukul 3 petang hari ini.

Bagaimanapun, penerbangan dengan menaiki pesawat TUDM dijadual 10 pagi itu terpaksa dibatalkan selepas pihak berkuasa Laos hanya memberi kelulusan mendarat pada pukul 4.30 petang.

Mengikut jadual, Malaysia akan menghadapi perlawanan kedua dengan menentang Vietnam Ahad ini, diikuti Kemboja (8 Disember) dan juara bertahan Thailand pada 11 Disember ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Fairuzizuan/ Zakry Tertekan

Artikel Berikut

Artikel Lain