suria

Tiada Siapa Yang Mampu Sekat China

JOHOR BAHARU: Malaysia mendapat sedikit saguhati, namun pasukan China yang banyak memenuhi tajuk berita di Kejohanan Bola Keranjang Fiba Asia U-16 (Lelaki) di Stadium Tertutup di sini.

Buat pemain Malaysia, kemenangan mereka 84-77 mengatasi Arab Saudi pada perlawanan di kalangan kumpulan pasukan yang kalah hari ini bererti perlawanan mereka untuk meraih hasil yang lebih dihormati di kejohanan 16 pasukan itu masih punya harapan.

Tetapi buat China, buruan untuk kejuaraan kini amat jelas menuju sasaran.

Kemenagan 108-61 ke atas China Taipei dalam perlawanan suku akhir kumpulan 1 malam tadi semakin mendekatkan mereka kepada kejuaraan.

Kejaguhan pasukan China begitu jelas kepada kira-kira 2,000 penonton di Stadium ketika mereka merobek pertahanan China Taipei sejak dari awal perlawanan lagi.

Pemain paling tinggi di kejohanan itu, Zhu Xuhang pada ketinggian 2.07m meraih 18 poin tetapi penjaga Guo Ailun muncul penjaring paling banyak dengan 21 poin.

Filipina turut merupakan pasukan yang impresif ketika mereka menewaskan Syria 71-57 dalam perlawanan suku akhir Kumpulan 2 untuk mencatat kemenangan kali keempat berturut-turut.

Iran, favorit pra-pertandingan, juga mendapat permulaan yang memberangsangkan dengan mengalahkan Jordan 70-51.

Filipina akan menentang Iran hari ini dan pemerhati melihatnya sebagai perlawanan yang akan menentukan pemenang kumpulan.

Pemain Filipina mungkin tidak memiliki tubuh besar namun taktik pergerakan mereka di gelanggang sesuatu yang menarik perhatian penonton berbanding Iran dengan pendekatan secara langsung. BERNAMA

Artikel Lain