suria

Amirul, Ganthimanthi Dinobatkan Olahragawan Dan Olahragawati Pahang

KUANTAN: Atlet angkat berat kebangsaan, Amirul Hamizan dan atlet olahraga K. Ganthimanthi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Pahang 2007/2008 yang diadakan di sini malam semalam.

Amirul kini berada di kedudukan ketiga dalam ranking Asia Tenggara dan k-e16 dalam ranking dunia sekali gus memartabatkan Malaysia dalam sukan angkat berat antarabangsa.

Antara kejayaan yang dicatatkan oleh badang negara itu ialah menyumbang dua pingat emas dan satu perak di Kejohanan Terbuka Pahang 2007, kedudukan ke-16 kategori 56kg di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Thailand 2007, keempat di Sukan Sea Korat 2007, pingat perak di Kejohanan Asia di Jepun 2008 dan kedudukan kelapan di Sukan Olimpik Beijing 2008 membolehkannya menerima anugerah berkenaan.

Ganthimanti pula dianugerahkan gelaran Olahragawati Pahang selepas berjaya membuktikan kejaguhannya dengan memenangi emas dalam acara 800 dan 1,500 meter di Kejohanan Remaja Pahang 2007, Sukma Terengganu 2008 dan Sukan Universiti Asean, Kuala Lumpur 2008.

Selain itu, beliau turut memenangi dua perak di Terbuka Thailand dan gangsa di Interreligious Peace Sports Festival (IPSF) Korea Selatan dalam koleksi peribadinya.

Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM3,500 serta sijil dan piala setiap seorang yang disampaikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sementara itu, dua atlet menembak, Mohd Hassanul Adzhar Mohd Badrin dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim pula dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan, masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM1,500.

Nur Ayuni Farhana turut menggondol Anugerah Berpasukan Terbaik bersama-sama rakan sepasukannya iaitu Nor Ain Ibrahim, Harhana Abdul Halim, Nur Izzatie Roslan, Nur Hariena Azhar, Nasreena Nasruddin dan Nur Asmaa Hidayah Mohamed dalam pasukan Menembak rifle Wanita Pahang.

Persatuan Tenpin Boling Pahang pula dianugerahkan sebagai Persatuan Sukan Terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000.

Penerima Anugerah Majlis Sukan Daerah Terbaik pula dimenangi oleh Majlis Sukan Daerah Kuantan (RM3,000); Elena Sothit dari sukan menembak menerima Anugerah Jurulatih Terbaik (RM1,500); Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah pula menerima Anugerah Kepimpinan Sukan (RM1,000). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain