suria

FAM bertanggungjawab kerosakan Stadium Nasional - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertanggungjawab terhadap kerosakan Stadium Nasional Bukit Jalil yang berjumlah RM214,000 kerana persatuan itu menyewa stadium tersebut, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

"Dalam soal ini FAM yang menyewa stadium, sewaan kepada FAM rendah berbanding sewaan untuk mengadakan konsert dan sebagainya, kerana ini penganjuran sukan.

"Walaupun FAM menjanjikan beberapa peratus daripada kutipan, tetapi mereka juga bertanggungjawab dari segi kerosakan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata, FAM akan dimaklumkan berhubung jumlah kerosakan yang dinilai oleh Perbadanan Stadium Bukit Jalil dan kos untuk membaik pulih stadium berkenaan akibat tindakan penyokong Kelantan semasa tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia Sabtu lepas.

Ditanya mengenai cadangan menghadkan jumlah penyokong pasukan yang fanatik dan mempunyai rekod buruk daripada memasuki stadium, beliau berkata langkah itu bertentangan dengan konsep industri sukan.

"Kemajuan sesuatu sukan berkait dengan penonton, kalau ada satu tindakan terlalu keras sehingga menyebabkan orang rasa susah nak tengok, akhirnya sukan-sukan berkenaan akan menjadi hambar," katanya.

Ahmad Shabery berkata, penonton yang membeli tiket memberikan hasil pendapatan kepada sesuatu pasukan itu selain populariti yang dikecapi boleh menarik tajaan syarikat swasta dan hak penyiaran yang tinggi seperti yang berlaku di negara barat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain