suria

Krueger kekal kejuaraan dengan rekod baru

PUTRAJAYA: Peluncur ski dunia Frederick August Krueger atau Freddy Krueger dari Amerika Syarikat berjaya memperbaiki rekod lompatan apabila menjuara acara Jump lelaki pada Kejoahanan Piala Dunia Ski Air Putrajaya 2009 di sini semalam.

Lompatan jarak 69 meter, Krueger, 28, mengatasi rekod lamanya 60.9m yang dicipta pada kejohanan tahun lepas.

Pada sesi kelayakan pada sebelah pagi, beliau telah melakukan lompatan sejauh 60 meter.

"Tidak boleh dipercayai. Kami sebenarnya suka angin sakal tetapi saya takut ia mungkin sedikit kencang. Bagaimanapun, saya berjaya mengatasinya. Lompatan seperti ini pernah saya lakukan di Russia kira-kira dua atau tiga tahun lepas.

"Saya tidak akan lupakan kenangan ini sepanjang hayat saya," katanya kepada Bernama di sini.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh peluncur ski Britain Thomas Asher dan Jason Seels masing-masing dengan catatan 63.2m dan 62.2m.

Dalam acara wanita, June Fladborg dari Denmark juga mencipta rekod kejohanan dengan jarak 48.3m, mengatasi rekod 45.6m yang dilakukan oleh peluncur Greece, Angeliki Andriopoulou, tahun lepas.

Tempat kedua disandang oleh Marion Mathieu dari Perancis dengan jarak 48.1m manakala tempat ketiga pula oleh peluncur Belarus, Iryna Turets dengan 46.5m.

Terdahulu itu, dalam kategori Slalom, peluncur Amerika Syarikat Nicholas Parson muncul juara selepas mengalahkan pesaing terdekat Jodi Fisher dari Britain dalam percubaan menggunakan tali sepanjang 10.75m.

"Ini adalah kejayaan paling manis. Ini adalah kemenangan pertama dalam sirkit dunia tahun ini. Pertandingan di sini agak sukar dan saya berjaya menampilkan persembahan terbaik di sini," kata peluncur berusia 34 tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain