suria

Pahang kemuka rayuan kepada FAM

KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan skuad Tok Gajah itu dapat beraksi pada Liga Malaysia musim depan.

Setiausaha PBNP, Ahmad Nazri Mat Noor berkata pihaknya akan menyelesaikan masalah berkaitan kegagalan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melibatkan pemain skuad itu musim ini.

"PBNP kini sedang melakukan pembayaran caruman KWSP dan sedang menunggu surat pengesahan mengenai pembayaran berkenaan.

"Bagaimanapun, kita memahami prosedur bahawa pembayaran KWSP perlu disokong dengan surat pengesahan daripada pihak KWSP dan kita yakin Pahang akan dapat beraksi pada musim baru Liga Malaysia 2010 kerana pembayaran kepada KWSP sedang kita lakukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Naib Presiden FAM Datuk Che Mat Jusoh berkata pasukan Kelantan (Liga Super), Perak (Liga Super), Pulau Pinang (Liga Super), Pahang (Liga Perdana), Melaka (Liga Perdana), serta sebuah kelab iaitu Shahzan Muda (Liga Perdana) tidak layak bertanding pada musim depan kerana pasukan itu gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan FAM seperti melunaskan gaji pemain yang tertunggak dan hutang tertunggak dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga tarikh akhir iaitu Sabtu lepas.

Che Mat bagaimanapun berkata keputusan muktamad mengenai nasib enam pasukan itu bergantung sepenuhnya kepada mesyuarat Majlis FAM yang akan dipengerusikan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah yang akan diadakan dalam masa terdekat.

"Keputusan yang diambil itu adalah berdasarkan kepada peraturan sedia ada serta mengesyorkan kepada mesyuarat Majlis FAM untuk diluluskan mengenai keputusan yang dicapai berkenaan," kata Che Mat.

Jika keputusan itu kekal, Liga Super akan mempunyai 11 pasukan sahaja pada musim depan berbanding 14 pasukan musim ini, manakala 10 pasukan bagi Liga Perdana berbanding 14 pasukan.

Ahmad Nazri berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan yang akan disertakan dengan dokumendokumen sokongan pada mesyuarat Majlis FAM itu nanti.

"PBNP hanya mengalami masalah caruman KWSP, dan bukannya masalah berkaitan tunggakan gaji pemain sepanjang musim ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain