suria

Kelab Penyokong Kedah terkejut penyerang berpotensi digugurkan

ALOR SETAR: Kelab Penyokong Hijau Kuning (HKC), melahirkan rasa terkejut berhubung keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menggugurkan Mohd Azrul Ahmad daripada terus beraksi untuk pasukan negeri itu bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Timbalan presidennya, Mohd Romzi Hassan, berkata rata-rata penyokong menyuarakan rasa tidak puas hati kerana ada pemain lain yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan pada musim lalu, masih dikekalkan.

"Azrul menunjukkan prestasi yang memuaskan sepanjang musim lepas dan jika KFA mampu mencari pengganti yang lebih bagus daripada Azrul, mungkin tidak menjadi masalah tapi bagaimana kalau sebaliknya?" katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain Azrul, KFA pada 2 November lepas turut menggugurkan empat lagi pemain iaitu Mohd Afif Amiruddin, Monospak Kram, Rafiz Abu Bakar dan Muhammad Nazmi Baharom daripada terus menyarung jersi Kedah bagi saingan Liga Malaysia musim 2010.

Mohd Romzi berkata Azrul telah menjaringkan 13 gol termasuk melakukan hatrik dalam perlawanan antarabangsa menentang Vietnam ketika Kedah beraksi pada pertandingan Piala Juara-Juara Asia (AFC Cup) musim lepas.

Katanya prestasi yang ditunjukkan oleh pemain berusia 24 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu boleh dianggap memuaskan kerana saingan musim lepas adalah penampilan pertamanya bersama pasukan Kedah.

"Memang dia tidak menjaringkan 20 gol tetapi harus diingat ini adalah musim pertamanya yang lebih kepada menyesuaikan diri dan membentuk persefahaman dengan pemain lain dan siapa tahu dia akan lebih menonjol pada musim depan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain