suria

Badminton (Remaja Dunia): Lima perseorangan negara layak ke pusingan keempat

ALOR SETAR: Lima pemain perseorangan negara iaitu tiga lelaki dan dua perempuan berjaya melayakkan diri ke pusingan keempat pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang berlangsung di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim di sini.

Paling mencuri tumpuan ialah kejayaan Sonia Cheah Su Ya yang mengejutkan pilihan 9/16 dari Jepun, Sayaka Takahasi dengan straight set 22-20 dan 21-16.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kuala Lumpur yang berusia 16 tahun itu bakal berdepan tugas getir apabila dijadual bertemu pilihan pertama dari China iaitu Xiaojia Chen.

Sonia yang membuat kemunculan sulung pada kejohanan remaja dunia berkata dia berpuas hati dengan prestasinya sehingga semalam.

"Saya gembira kerana berjaya menewaskan beberapa pemain pilihan dan berharap dapat meneruskan aksi konsisten esok (hari ini) menentang pemain China itu," katanya kepada pemberita di sini semalam selepas perlawanan.

Sementara itu, perseorangan utama negara yang juga pilihan 9/16, Tee Jing Yi turut menempah tiket ke pusingan keempat selepas mudah menyingkirkan pemain Thailand, Jindapol Nitchaon 21-14 dan 21-13.

Tiga perseorangan lelaki negara, Zulfadli Zulkifli, Misbun Ramdan Mohamed Misbun dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin juga berjaya melepasi halangan pusingan ketiga.

Zulfadli meranapkan impian pemain India, Pranoy H.S dengan straight set 24-22 dan 21-12 manakala Misun mengenepikan saingan sengit Ari Trisnanto dari Indonesia sebelum menang 21-11, 21-23 dan 21-19.

Iskandar pula menamatkan cabaran perseorangan lelaki Singapura iaitu Gerard Ong Soon Lee 21-16 dan 21-11.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemain negara yang juga pilihan 3/4, Muhammad Syawal Mohd Ismail apabila tewas dalam pertarungan tiga set 19-21, 21-18 dan 16-21 kepada Andre Marteen dari Indonesia.

Malaysia akan meneruskan cabaran dalam acara beregu lelaki, perempuan dan campuran serta perseorangan lelaki dan perempuan yang bermula pada 9 pagi hari ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain