suria

SIC atur majlis raikan Rossi jika rangkul kejuaraan ke-7 di Malaysia

KUALA LUMPUR: Satu bentuk majlis meraikan kejayaan pelumba Itali, Valentino Rossi dari pasukan Fiat Yamaha yang memburu kejuaraan ketujuhnya pada Grand Prix Motosikal Dunia MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang diatur, pada perlumbaan yang akan berlangsung hujung minggu ini. "Kami masih memikirkan bentuk majlis meraikan kejayaan untuk Rossi," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali pada majlis memperkenalkan trofi kejuaraan MotoGP Malaysia di sini hari ini.

Rossi yang turut menjuarai kategori MotoGP di Litar Antarbangsa Sepang tahun lepas, kini mengumpul 270 mata dengan enam kemenangan daripada 18 perlumbaan musim ini iaitu di Litar Jerez, Sepanyol, Barcelona (Sepanyol), Assen (Belanda), Sachsenring (Jerman), Brno (Republik Czech) dan San Marino (Itali).

Dengan hanya berbaki dua perlumbaan lagi musim ini, Rossi, 30, berkelebihan 38 mata berbanding pesaing terdekatnya yang juga rakan sepasukan dari Sepanyol, Jorge Lorenzo yang mengumpul 232 mata dan pelumba Australia, Casey Stoner (195 mata) di kedudukan ketiga keseluruhan pelumba.

Tahun lepas, Rossi memenangi sembilan daripada 18 perlumbaan MotoGP dunia dengan kejuaraan lima tahun berturutturut pada 2001, 2002, 2003, 2004 dan 2005.

Sementara itu, dua pelumba 'wildcard' negara dalam kategori 125cc, Elly Idzlianizar, 25, dan Muhammad Zulfahmi Khairuddin, 18, berjanji akan memberikan persembahan terbaik mereka hujung minggu ini.

"Ia bukan sesuatu yang mudah kerana ini adalah saingan MotoGP dunia dan perlumbaan motosikal paling kompetitif. Saya tidak menjangka diberi peluang untuk berlumba dalam MotoGP, saya akan memberikan persembahan 110 peratus terbaik saya," Kata Elly Idzlianizar. BERNAMA

Artikel Lain