suria

Mohd Faizal dan Nurul Izzatul raih kejayaan di Hong Kong

SEPANG: Pelayar cilik negara "The Little Tiger" sekali lagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila Mohd Faizal Norizan muncul juara keseluruhan kategori bawah 15 tahun pada Kejohanan Perahu Layar Optimist Kebangsaan Hong Kong 2009.

Selain gelaran itu, pelayar muda berusia 13 tahun itu turut berjaya mengatasi saingan daripada pelayar lain untuk merangkul gelaran Optimist Divisyen A.

Jurulatih Shahril Abdul Razak menyifatkan pencapaian skuad pelapis negara itu sebagai membanggakan selepas mencapai kejayaan pada Kejohanan Dunia 2009 di Brazil Ogos lalu.

"Secara keseluruhan skuad pelapis telah mempamerkan peningkatan yang memberangsangkan secara berterusan," katanya ketika ditemui sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, hari ini.

Pada kejohanan di Hong Kong dari 30 Sept hingga 5 Okt itu, Malaysia menghantar lapan pelayar bawah 15 tahun yang terdiri masing-masing empat lelaki dan perempuan.

Selain Mohd Faizal, Nurul Izzatul Akmar Ruzaimi turut cemerlang dengan mengungguli kategori Optimist Remaja Perempuan.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kelibang, Langkawi, itu turut meraih kedudukan keempat dalam kategori Optimist Keseluruhan.

"Pada awal perlumbaan, yakin saya mampu melakukan yang terbaik tetapi apabila turun ke laut saya mula gementar. Keadaan ombak ketika itu agak kuat juga tapi bila angin mula reda, saya mula mengorak langkah untuk memimpin perlumbaan sehingga tamat saingan," kata Mohd Faizal.

"Saingan terkuat datang daripada rakan sepasukan dan peserta tuan rumah. Sasaran saya kini ialah untuk melakukan yang terbaik di Kejohanan IODA Asia di Langkawi Disember ini," katanya.

Kesemua pelayar kembali ke Langkawi hari ini dan akan memulakan latihan persediaan bagi menghadapi Kejohanan Asia IODA di Langkawi dari 12 hingga 20 Disember ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain