suria

Davydenko menang ATP terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Nikolay Davydenko menepati ramalan sebagai pemain pilihan utama apabila merangkul Kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia selepas menewaskan Fernando Verdasco pada perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, semalam.

Pemain nombor lapan dunia dari Russia itu mengambil masa 95 minit untuk menundukkan Verdasco, dari Sepanyol, 6-4, 7-5, sekaligus merangkul gelaran ketiga dalam Jelajah ATP Dunia tahun ini.

Sebelum ini, Davydenko menjuarai Terbuka Jerman dan Terbuka Croatia.

"Saya amat letih. Adalah sukar mengumpul mata pada set pertama," kata Daydenko, 28, yang lahir di Severodonezk, Ukraine dan kini menetap di Volgograd, Russia.

Dibimbing oleh abangnya Eduard, Davydenko berkata persembahannya meningkatkan pada setiap peringkat perlawanan sehingga berjaya mempamerkan persembahan terbaik semalam.

"Saya fikir Verdasco melakukan banyak kesilapan pada set kedua dan jika dia mengambil kesempatan melakukan pukulan rali yang berpanjangan, saya mungkin kalah kerana keletihan," katanya.

'Saya cukup bangga menjuarai kejohanan pertama di Kuala Lumpur. Sebagai juara, saya perlu kembali semula tahun depan untuk mempertahankan kedudukan ini," kata Davydenko.

Selepas ini, Davydenko akan menyertai Terbuka China yang menawarkan hadiah US$3.3 juta (RM11.4 juta) di Beijing mulai hari ini sebelum mengambil bahagian pada ATP Masters Shanghai 1000 yang menawarkan US$5.2 juta (RM18 juta) mulai 11 Okt.

Sebagai juara Terbuka Malaysia, Davydenko membawa pulang hadiah wang tunai US$539,000 (RM1.867 juta) serta 250 mata ranking ATP manakala Verdasco pula menerima 150 mata ranking.

Dengan pungutan mata tersebut, Davydenko menghampiri untuk mengisi salah satu daripada tiga tempat yang masih kosong untuk beraksi pada pusingan akhir Jelajah Dunia ATP Barclays di Stadium 02, London, Disember ini.

Sementara itu, dalam acara beregu, pasangan utama Poland, Mariusz Fyrstenberg dan Marcin Matkowski muncul juara selepas mengalahkan beregu Igor Kunitsyn (Russia) dan Jaroslav Levinsky (Republik Czech) 6-2, 6-1.

Beregu juara itu menerima hadiah wang tunai US$50,000 (RM175,000) serta 250 mata ranking ATP. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain