suria

Rehula, Paxton ungguli Ironman 70.3 Putrajaya

PUTRAJAYA: Atlet triatlon dari Republik Czech Jan Rehula dan atlet Australia Rachael Paxton masing-masing menjuarai kategori profesional lelaki dan wanita pada pertandingan sulung Kejohanan Ironman 70.3 Putrajaya di sini semalam.

Rehula, 36, mengungguli acara lelaki itu dengan mencatatkan masa empat jam satu minit dan 19 saat untuk meraih wang tunai US$5,000 (RM17,325).

"Pada mulanya, saya tidak begitu bagus ketika memasuki kilometer kedua acara renang sebelum dapat semula rentak. Bersama Cameron Watt, kami melepasi juara duatlon dunia Leon Griffin.

"Laluan berbasikal adalah pantas dan sama dengan laluan latihan di Seoul, Korea Selatan, di mana saya tinggal selama lima tahun sekarang," kata Rehula yang memenangi pingat gangsa acara triatlon pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

Tempat kedua dimenangi oleh peserta Itali, Domenico Passuello yang mencatatkan masa 4:01.53s dan membawa pulang hadiah wang tunai US$3,000 (RM10,395).

Tempat ketiga disandang oleh alet Australia Cameron Watt yang mencatatkan masa 4:03.52s untuk meraih wang tunai US$2,000 (RM6,930).

Atlet terbaik negara dalam kategori profesional ialah Shahrom Abdullah, yang menamatkan saingan di tangga kelima dengan catatan masa 4:32.44s.

Dalam kategori profesional wanita, Paxton, 25, yang julung kali menyertai pertandingan lasak itu, berjaya mengatasi lawannya dengan catatan masa 4:30.47s diikuti tempat kedua oleh atlet Amerika Syarikat Katya Meyer (4:36.17s) dan tempat ketiga oleh Erin O'hara dari New Zealand dengan masa 4:37.33s.

"Ini adalah pertandingan Ironman pertama bagi saya dan sukar untuk mempercayainya. Cuaca tidak begitu panas seperti yang dijangkakan," kata Paxton.

Kejohanan Putrajaya ini melibatkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 1.9km di Tasik Putrajaya, berbasikal sejauh 90.1km dan larian mini maraton sejauh 21km.

Berikutan kejayaan itu, Paxton belum memutuskan sama ada mahu menyertai Kejohanan Ironman 70.3 Dunia di Clearwater, Florida, Amerika Syarikat, pada 14 Nov ini.

Kejohanan Ironman 70.3 Putrajaya, yang diiktiraf oleh Perbadanan Triatlon Dunia (WTC), menyediakan 25 tempat kepada pemenang pelbagai kategori untuk menyertai kejohanan dunia di Amerika Syarikat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain