suria

PBSMM sertai Liga Malaysia mulai 2011

PETALING JAYA: Bagi merancakkan saingan bola sepak tempatan, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) telah bersetuju untuk menyertai Liga Malaysia (LM) mulai 2011.

Presidennya Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah itu juga berikutan persetujuan yang telah diberikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini selaku badan induk bola sepak kebangsaan.

"Untuk peringkat awal, kita akan bersaing dalam Liga FAM dan sekiranya mampu untuk memberi saingan pastinya kita akan layak secara merit ke saingan lebih tinggi iaitu Liga Perdana," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat majlis PBSMM di sini hari ini.

Takiyuddin berkata bagi merealisasikan impian itu juga, satu jawatankuasa telah ditubuhkan, diketuai oleh Naib Presiden PBSMM Anuar Awad, bagi merangka program ke arah penubuhan pasukan selewat-lewatnya tahun depan.

"Malah kita kini sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan sebuah syarikat korporat tempatan bagi menjadi penaja kepada pasukan itu nanti," katanya.

Mesyuarat majlis itu juga telah bersetuju untuk menganjurkan Piala Dunia Melayu yang pertama pada 2011 sejajar dengan kemuncak Piala Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) 2010 di Afrika Selatan.

"Kita akan berusaha untuk menarik minat negaranegara yang mempunyai masyarakat Melayu seperti Afrika Selatan, Sri Lanka dan negaranegara di Asia Tenggara untuk menghantar pasukan mereka nanti," katanya.

Artikel Lain