suria

Davydenko, Soderling layak ke suku akhir tenis Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Dua pemain Perancis Gael Monfils dan Richard Gasquet mara ke pusingan kedua kejohanan tenis Terbuka Malaysia manakala pemain Russia Nikolay Davydenko dan pemain Sweden Robin Soderling mencatatkan kemenangan mudah untuk ke suku akhir, dalam saingan di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Monfils, pilihan kelima, akan bertemu dengan pemain Argentina Martin Vassallo Arguello pada pusingan kedua, selepas memenangi 70 peratus mata daripada servis, termasuk sembilan ace, untuk menewaskan Denis Istomin dari Uzbekistan 7-6(7-3), 7-6(7-2) dalam tempoh satu jam dan 46 minit.

Mengulas mengenai kemenangan dalam kedua-dua set dicapai menerusi tiebreak, Monflis berkata beliau tahu perlawanan itu sukar baginya kerana beliau baru tiba di Malaysia pagi ini.

Pemain berusia 23 tahun itu menamatkan kemarau kejuaraan selama empat tahun Ahad lepas selepas memenangi kejuaraan Open de Moselle di Metz, Perancis dengan menewaskan pemain Jerman Philipp Kohlschreiber pada perlawanan akhir.

"Selepas perlawanan akhir di Metz, saya gagal mendapatkan penerbangan ke Geneva, jadi saya sewa kereta dan memandu pulang dan tiba pada pukul 3 pagi untuk mengemaskan barang saya. Pada Selasa, saya perlu mengambil penerbangan ke Paris untuk menaiki pesawat ke Kuala Lumpur, jadi saya tiada banyak masa untuk berehat sejak memenangi kejuaraan di Metz. "Pagi ini saya tiba di hotel (Mandarin Oriental) pukul 9 pagi, makan sarapan pagi dan kemudian naik kenderaan ke Stadium Putra pada 10 pagi untuk memanaskan badan bagi menghadapi perlawanan. Saya letih dan mengalami "jet lag" (gangguan ritma harian) buat masa ini dan saya akan buat yang terbaik untuk kembali cergas bagi perlawanan esok," kata Monflis.

Rakan senegara beliau yang juga pemain nombor 47 dunia, Gasquet yang masih mengalami kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan masa di sini menundukkan pemain Romania Victor Crivoi 6-1, 6-2.

"Saya rasa saya beraksi dengan baik walaupun banguan pukul 2 pagi hari ini. Saya masih belum dapat menyesuaikan diri dengan perubahan masa di sini, tetapi saya berharap saya dapat tidur lena malam ini," kata pemain berusia 23 tahun itu yang melakukan 12 ace untuk menang dalam tempoh 68 minit.

Dalam pusingan kedua, Gasquet akan bertemu dengan pemain Sweden Joachim Johansson, yang menundukkan bekas pemain nombor satu dunia dan pilihan kelapan Lleyton Hewitt dari Australia semalam.

Sementara itu, pilihan utama dan pemain nombor lapan dunia Davydenko dan Soderling, pilihan ketiga dan pemain nombor 11 dunia mudah menewaskan lawan masingmasing dalam perlawanan pusingan kedua.

Davydenko, 28, menundukkan Taylor Dent 6-3, 6-6 (7-4) manakala Soderling, 25, mengalahkan Brendan Evans 6-1, 6-1.

Dengan kemenangan itu, Davydenko dan Soderling, yang kedua-duanya mendapat bye dalam pusingan pertama, layak ke suku akhir.

"Ia perlawanan yang sukar bertemu Dent tetapi saya melakukan servis yang baik dan saya cuba untuk bermain secara agresif sejak dari mula jadi saya tidak memberi dia peluang," kata Davydenko.

Soderling berkata: " Sebelum kejohanan ini, saya banyak beraksi dalam kejohanan tenis dan saya sentiasa tahu beraksi pada perlawanan pertama dalam apa-apa kejohanan sentiasa sukar. Tetapi, sejak dari mula, saya mengawal perlawanan dengan permainan pantas. Ini mungkin prestasi terbaik saya tetapi saya percaya saya boleh beraksi dengan lebih baik pada suku akhir."

Davydenko akan bertemu sama ada Vassallo atau Monflis, manakala Soderling akan bertemu sama ada pilihan keenam Tomas Berdych dari Republik Czech atu Simon Greul dari Jerman. BERNAMA

Artikel Lain