suria

Sukan Para: Thailand, Vietnam dan Brunei kontinjen pertama tiba

SEPANG: Juara bertahan Thailand, Vietnam dan Brunei menjadi tiga negara pertama yang tiba bagi Sukan Para Asean (KL 09) yang bermula Sabtu ini.

Menurut pegawai dari Thailand, kontinjen mereka turun dengan misi mempertahankan kejuaraan mereka yang diraih dua tahun lalu di Korat dengan 256 emas, 109 perak dan 84 gangsa.

"Kami menghantar atlet paralimpik terbaik untuk edisi di Kuala Lumpur ini dengan harapan untuk mempertahankan kejuaraan," kata jurucakap kontinjen Thailand kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Katanya kontinjen Thailand kali ini terdiri daripada 130 pegawai dan atlet bakal bertanding dalam 10 acara yang dipertandingkan.

Vietnam yang meraih tempat ketiga selepas mengumpul 78 emas, 66 perak dan 43 gangsa di Korat turut menyuarakan hasrat untuk mengekalkan pencapaian tempat ketiga di Kuala Lumpur.

Penolong Ketua Kontinjen, Le Hong Diedchi berkata kontinjen Vietnam terdiri daripada 92 atlet termasuk enam atlet paralimpik yang mengambil bahagian di Sukan Paralimpik Beijing di China tahun lepas.

"Kami berharap mereka akan memecahkan rekod Sukan Para Asean,"katanya.

Sementara itu, Brunei yang memperoleh tiga emas di Korat berharap untuk menambah pungutan pingat di Kuala Lumpur.

Penolong Ketua Kontinjennya, Sheikh Mahmud Sheikh Ibrahim berkata oleh kerana Brunei tidak boleh bertanding di Beijing kerana negara itu bukan anggota Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC), edisi kali ini adalah venue terbaik membuktikan keupayaan atletnya.

"Diharapkan Brunei akan menjadi anggota IPC sebelum sukan Paralimpik 2012 di London," katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga ekoran penularan wabak Influenza A (H1N1), semua atlet dan pegawai yang tiba di KLIA disediakan laluan khusus dengan kemudahan saringan bagi mengesan penyakit itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain