HYDERABAD: Pemain perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei dan perseorangan wanita Wong Mew Choo menang mudah di hari pertama Kejohanan Badminton Dunia Yonex-Sunrise di sini tetapi pemain perseorangan lelaki Lee Tsuen Seng kecundang.
Chong Wei menewaskan pemain Jerman, Dieter Domke 21-14, 21-10 dalam 25 minit.
"Ia perlawanan pertama saya. Saya buat beberapa kesilapan. Permainan akhir saya sebelum ini adalah di gelanggang yang sama dan ia masih di fikiran saya (ketika tewas perlawanan pertama dalam Terbuka India pada Mac lalu). "Terdapat tekanan pada permulaannya tetapi saya akan okay di pusingan seterusnya," kata Chong Wei kepada pemberita kemudiannya.
Mew Choo menewaskan Shannon Pohl dari Amerika Syarikat 21-4, 21-6 dalam 19 minit.
Lee Tsuen Seng pula ditewaskan oleh pemain Thailand, Saensomboonsuk Tanongsak 7-21, 13-21.
Pasangan beregu campuran negara Woon Khe Wei dan Mohd Razif Abdul Latif pula tewas kepada pasangan Ukraine, Valeriy Atrashchenkov dan Elena Prus 17-21, 17-21. Kekalahan turut diterima oleh pasangan beregu wanita Lim Yin LooMarylen Ng Poau Leng kepada pasangan Jepun, Shizuka MatsuoMami Naito 8-21,16-21.
Pemain pilihan ketiga perseorangan lelaki dari Denmark, Peter Gade turut menang mudah ke atas pemain Ukraine, Valeriy Atrashchenko 21-11, 21-16. Juara bertahan dari China dan pilihan kelima kejohanan, Lin Dan seperti yang diduga menewaskan pemain Israel, Zilberman 21-9, 21-11.
Namun upset pertama berlaku kepada seorang lagi pemain perseorangan lelaki China, selaku pilihan ke11 kejohanan dan Juara Asia, Bao Chun Lai yang tewas kepada pemain bukan pilihan dari Belanda, Dicky Palyama, 21-18, 21-14 dalam 30 minit.
Keputusan yang membabitkan pemain Malaysia.
Perseorangan lelaki: Chong Wei mn Dieter Domke (GER) 21-14, 21-10.
Tsuen Seng kk Saensomboonsuk Tanongsak (THA) 21-7, 21-13.
Perseorangan wanita:
Mew Choo mn Shannon Pohl(Us) 21-4, 21-6.
Beregu campuran:
Khe Wei/Mohd Razif kk Valeriy Atraschchenkovy/ Elena Prus (UKR) 21-17, 21-17. Beregu wanita:
Yin Loo/ Marylen Ng kk Matsuo/Naito (JPN) 21-8, 21-16.
BERNAMA


