suria

MOM minta nasihat OCA berhubung situasi di Thailand

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mendapatkan nasihat daripada Majlis Olimpik Asia (OCA) berhubung dua mesyuarat serta satu kejohanan di Bangkok yang disertai Malaysia berikutan keadaan politik yang tidak menentu di Thailand ketika ini.

Tiga acara yang akan dijadualkan berlangsung di Bangkok ialah Mesyuarat Lembaga Eksekutif ke-54 OCA (24 April), Mesyuarat Agung ke-28 OCA (26 April) dan Temasya Seni Mempertahan Diri Asia yang Pertama (25 Apri-l3 Mei).

"Saya akan menulis surat kepada OCA untuk mendapat nasihat mengenai penganjuran mesyuarat dan kejohanan di Bangkok," kata Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kerajaan Thailand semalam mengisytiharkan perintah darurat di ibu kota Bangkok dan lima wilayah berdekatan dalam usaha membendung penunjuk perasaan antikerajaan yang memaksa pembatalan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 di Pattaya, Sabtu.

Kedutaan Malaysia di Thailand semalam juga telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia supaya menangguhkan lawatan ke negara itu berikutan keadaan tidak selamat dan tunjuk perasaan antikerajaan.

Sieh berkata ketika ini pihak penganjur di Bangkok tidak memberi apa-apa petanda sama ada mesyuarat dan kejohanan tersebut akan diteruskan atau tidak.

Pada Temasya Seni Mempertahankan Diri Asia yang Pertama, Malaysia hanya akan diwakili oleh atlet daripada Persatuan Silat Kebangsaan (Pesaka) dan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) selepas MOM memutuskan untuk tidak membiayai kos pemergian mereka ke Bangkok.

Menurut MOM, kejohanan tersebut bukanlah satu pertandingan tetapi lebih kepada pertunjukkan.

Sebanyak 45 negara yang bernaung dengan OCA akan menyertai kejohanan itu yang menawarkan sembilan jenis sukan bela diri iaitu taekwondo, tinju tendang, karate, muay thai, jujitsu, judo, kurash, wushu dan pencak silat. BERNAMA

Artikel Sebelum

KEPUTUSAN LIGA PERDANA

Artikel Berikut

Artikel Lain