suria

Hukuman setimpal untuk elak rusuhan penonton berulang - Shabey

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang baru dilantk berkata hukuman setimpal perlu diambil ekoran rusuhan peminat fanatik Kelantan semasa perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamed keIV di Kota Baharu Selasa lepas.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut pihak yang perlu dikenakan tindakan.

"Bagi saya kejadian ini adalah satu perkara yang amat dikesali. Kita tidak pernah mendengar insiden seburuk ini berlaku di dalam sejarah bola sepak negara ini," katanya selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan oleh Persatuan Wanita Kelantan (Perwatan) kepada Mercy Malaysia bagi mengisi Tabung Gaza, di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan kejadian tersebut sebagai kejadian malang yang melanda bola sepak tanah air.

"Perkara sebegini selalunya berlaku di Eropah dan Amerika Selatan tetapi bola sepak di negara tersebut telah maju, cuma tidak maju dari segi sikap penonton bola sepaknya. Negara kita ini sudahlah bola sepak tidak berapa maju, sikap peminat pun tidak maju," katanya.

Ahmad Shabery memberikan sepenuh kepercayaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menangani kejadian rusuhan tersebut kerana perkara itu adalah antara FAM dengan persatuan bola sepak negeri.

"(Mengawal displin penyokong) bukan sahaja merupakan tanggungjawab persatuan bola sepak negeri, tetapi juga merupakan tanggungjawab kerajaan negeri, tanggungjawab rakyatnya supaya peristiwa yang memalukan sebegini harus dibendung dan sekiranya tiada hukuman dikenakan, ia boleh merebak," katanya.

Walaupun menyerahkan segala keputusan kepada FAM, beliau yang akan memulakan tugas baru Rabu ini selepas mesyurat Kabinet, akan turut meneliti laporan mengenai kejadian tersebut setelah FAM bersidang dan membuat beberapa keputusan.

Pada majlis itu Perwatan menyumbang sebanyak RM5,000 kepada Mercy Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain