suria

Agong sertai Kejohanan Kuda Lasak

MELAKA: Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil bahagian dalam Kejohanan Kuda Lasak Jemputan Antarabangsa Melaka (MGIER) 2009 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, di Stadium Hang Jebat, Krubong dekat sini.

Tuanku Mizan yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) memakai nombor 77, menunggang kuda bernama "Jakim Murphy" dalam acara 80 km bersama 26 lagi peserta dari seluruh negara.

Turut serta dalam kejohanan itu adalah dua anakanda baginda iaitu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Nadhirah Zahrah yang masing-masing bersaing dalam acara 40 km.

Tengku Muhammad Ismail menunggang kuda bernama "Hermere Cairo" manakala Tengku Nadhirah Zahrah pula menunggang kuda bernama "Navidad".

Tiga kategori dipertandingkan dalam kejohanan berkenaan iaitu 40 km, 80 km dan 120 km yang turut disertai beberapa penunggang luar negara yang terdiri daripada Australia, Singapura, New Zealand, Indonesia, Perancis, Thailand, German dan Amerika.

Acara pelepasan kategori 120 kilometer disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada pukul 5.30 petang manakala Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob menyempurnakan acara pelepasan 80 kilometer jam 6.30 petang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh pula menyempurnakan pelepasan kategori 40km pada pukul 8.30 malam.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai RM12,000, sebuah trofi serta sijil bagi johan 120 km manakala johan 80 km memperolehi wang tunai RM6,000, sebuah trofi dan sijil; manakala lima pelumba pertama bagi ketegori 40 km mendapat sijil penamat perlumbaan.

Peserta akan sampai ke garisan penamat pada awal pagi esok (hari ini). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain