suria

Penyertaan MBJB dalam Liga Perdana dibatal

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini membatalkan penyertaan Johor MBJB dalam pertandingan Liga Perdana dengan alasan gagal menjelaskan premium insurans dalam masa yang ditetapkan.

Pengerusi jawatankuasa itu yang juga naib presiden FAM Datuk Che Mat Jusoh berkata, dengan itu segala mata (menang, seri, kalah) yang dicatat pasukan yang telah bertemu Johor MBJB akan dibatalkan.

"Kami mengambil tindakan berdasarkan peraturan dan perlembagaan dalam FAM, saya harap penyingkiran MBJB menjadi satu pengajaran kepada semua pasukan yang mahu mengambil bahagian dalam Liga Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini.

Perkembangan terbaru itu turut menyebabkan perubahan dalam kedudukan liga apabila Johor yang belum bertemu MBJB pada perlawanan Liga Perdana, melonjak ke tempat teratas liga dengan 19 mata kerana Harimau Muda ditolak tiga mata yang diperoleh selepas menewaskan MBJB.

Selepas perlawanan Liga Perdana semalam, Harimau Muda mendahului liga dengan 21 mata setelah memenangi tujuh perlawanan, tetapi memandangkan tiga mata dibatalkan, pasukan itu turun ke tangga kedua dengan 18 mata.

Che Mat berkata bagi pasukan yang telah bertemu MBJB di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, mereka boleh membuat tuntutan ganti rugi perbelanjaan daripada FAM.

Jadual perlawanan yang telah disusun bagaimanapun tidak berubah, katanya.

Pada 13 Mac, FAM menggantung MBJB kerana gagal melunaskan premium insurans pemain dan pegawainya yang berjumlah RM71,089.20.

Bagaimanapun, minggu lepas, MBJB memutuskan untuk menjelaskan jumlah tunggakan premium berkenaan dan turut menghantar surat rayuan kepada FAM.

Difahamkan antara alasan yang diberi dalam surat rayuan itu adalah belum mendapat peruntukan kewangan mencukupi daripada majikan pasukan itu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain