suria

Saspens, Kejutan Diuji Dalam Khurafat

TANPA ragu-ragu, kerja seni terbaru pengarah berpotensi Syamsul Yusof dalam filem Khurafat memang membanggakan.

Jika boleh dirangkum satu ungkapan tentang filemnya kali ini, maka penjelasan paling tepat adalah Syamsul kian matang dalam berkarya.

Terhasilnya Khurafat, sekali gus membuktikan penggiat muda yang sinonim dengan filem aksi ini mampu mencorakkan filem seram dan ngeri juga.

Ini kerana Syamsul berjaya menampilkan anjakan daripada kelaziman yang berulang-kali digunapakai dalam tiga filem arahannya terdahulu.

Mungkin juga tidak keterlaluan menyimpulkan Khurafat sebagai filem terbaiknya setakat ini.

Sebagai pelakon utama, Syamsul memperlihatkan kematangan dalam lakonan. Bagi yang mengikuti perkembangan lakonannya, kesederhanaan yang diterjemahkannya kali ini memang menjadi.

Syamsul yang sinonim dengan stail lakonan yang ‘terkawal’ sebelum ini, tampil lebih spontan dan bersahaja mendukung dua lapisan watak, hitam dan putih itu.

Ekspresi wajah yang menyerlahkan variasi cemas, takut, penyesalan dan misteri sebagai Johan memang layak dipuji.

Menariknya Khurafat bukan kerana hantu yang menjelma atau kesan bunyi yang keterlaluan untuk memaksa penonton terkejut tetapi kerana kecekapan pengarah ini menyusun naratif filem ini.

Jika dinilai pada elemen seram yang disogokkan, gaya filem ini ‘lari’ daripada norma filem seram Melayu yang sedia ada. Benar dan harus diakui juga penghasilan Khurafat jauh lebih rapi berbanding filem-filem aksinya iaitu, Bohsia, dan Evolusi KL Drift 1 dan 2.

Percaturan Syamsul yang mengetengahkan aktres Liyana Jasmay dan Sabrina Ali juga membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Kredibiliti Liyana sebagai pelakon memang tidak perlu dipertikaikan. Menerusi filem ini, Liyana yang membawakan watak Aisyah, isteri kepada Johan cukup meyakinkan dengan gaya lakonan yang ringkas.

Apa yang paling bernilai tentang penterjemahan Liyana adalah kepelbagaian pada ekspresi wajah dan kebijaksanaannya bermain dengan emosi.

Jika dilihat pada perbezaan saiz di antara Liyana dan Syamsul, adakalanya gandingan mereka sebagai suami isteri tampak kekok di layar. Bagaimanapun, keserasian mereka berjaya mengaburi kekurangan tersebut.

Seorang lagi nadi Khurafat yang wajar dipuji adalah Sabrina Ali. Memainkan watak bekas kekasih Johan iaitu Anna, Sabrina tampil dengan persembahan yang baik.

Potensi Sabrina menyerlah dalam ruang yang diberikan. Lakonannya sebagai wanita meracau yang menggilai bekas kekasihnya itu adalah antara kekuatan Sabrina.

Tambah menarik, kemampuannya melakonkan sendiri babak-babak penting termasuk dibungkus seperti mayat, dimandikan di atas tempat mandian jenazah dan dimasukkan ke dalam keranda dan bilik menyimpan mayat di hospital adalah keberanian yang layak diberi pujian.

Graf penceritaan yang meningkat seiring dengan perjalanan filem juga adalah kekuatan Khurafat.

Malah, 30 minit terakhir dalam filem ini adalah tempoh terbaik yang mendebarkan, ngeri dan menjawab segala teka-teki.

Tampil lebih segar, Khurafat divisualkan hasil skrip dan lontaran dialog yang lebih realistik dan santai, berbanding ungkapan dialog ala ‘lipur lara’ yang lazim kita dengar dalam filem-filem terbitan Skop Productions sebelum ini.

Jika diamati pada keaslian naskhah ini, pasti kaki filem akan terlihat bayangan beberapa filem seram dari Thailand, Jepun mahupun Hollywood pada Khurafat.

Paparan visual pada permulaan dan pengakhiran filem ini juga dilihat seperti imbasan filem kontroversi 2 Alam (2010).

Bagaimanapun, penelitian Syamsul mewarnakan babak-babak ‘pelanduk dua serupa’ ini menjadikan Khurafat tetap istimewa untuk dinikmati.

Bukan pujian kosong tetapi sentuhan Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 ini adalah berbeza dan wajar untuk ditonton.

Selain gandingan trio itu, filem yang menelan kos sebanyak RM1.7 juta ini turut dimantapkan dengan lakonan Fauziah Nawi, Salina Saibi, Ezendy Aziz dan seniwati Mariani.

Filem Khurafat - Perjanjian Syaitan memaparkan kisah perjanjian terlarang dan persekongkolan antara manusia dan syaitan yang mendasari kehidupan suami isteri, Johan dan Aisyah.

Kebahagiaan pasangan ini bertukar igauan ngeri kesan daripada ‘gangguan misteri’ yang berterusan dan kekacauan yang ditimbulkan oleh Anna.

Adakah ‘gangguan misteri’ itu disebabkan oleh Anna yang tidak dapat menerima kenyataan perpisahan mereka atau mungkin kesilapan lampau Johan yang kembali menghantui kehidupannya? Misteri itu bakal terungkai dalam Khurafat.

Khurafat ditayangkan di pawagam bermula 13 Januari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain