'Kegilaan' The A Team Yang Menghiburkan - Wayang | mStar

'Kegilaan' The A Team Yang Menghiburkan

Para pelakon The A Team Bradley Cooper, Jessica Biel, Sharlto Copley, Liam Neeson dan Quinton 'Rampage' pada tayangan perdana filem itu di Los Angeles, baru-baru ini. - Foto AP
Para pelakon The A Team Bradley Cooper, Jessica Biel, Sharlto Copley, Liam Neeson dan Quinton 'Rampage' pada tayangan perdana filem itu di Los Angeles, baru-baru ini. - Foto AP

SATU perkataan yang paling sesuai menggambarkan pengalaman menonton filem yang diadaptasi daripada siri televisyen popular sekitar tahun 1983, The A Team adalah menghiburkan!

Mungkin bagi sesetengah pengulas atau pengkritik filem, The A Team hanyalah sebuah filem aksi komedi yang longgar, tidak kemas dan dipersembahkan dalam bentuk yang biasa-biasa sahaja.

Namun, atas satu prinsip iaitu tujuan kita ke pawagam adalah untuk berhibur dan menikmati filem yang kita bayar, jadi tidak perlulah sampai pening kepala cuba mencari kesempurnaan sesebuah filem itu.

Pakej hiburan yang ditawarkan oleh The A Team mampu buat anda tergelak besar dan bergembira sepanjang menonton filem arahan Joe Carnahan ini.

Ketika menonton filem ini, terlintas di fikiran penulis bahawa perbandingan pasti akan dibuat terutamanya di kalangan penonton yang membesar dengan siri tv yang pernah popular suatu ketika dulu.

Namun, pada pandangan penulis filem ini harus diterima seadanya berdasarkan nilai hiburan yang dipaparkan.

Memang diakui filem ini tidak sempurna, tidak sekemas mana dan semestinya bukan sebuah filem untuk nominasi anugerah, tapi garapan dan persembahannya yang ringan dan menghiburkan itu adalah tarikan utama yang mampu membuai penonton hingga terlupa beberapa kecelaan yang ketara dalam filem ini.

Jika hendak dikira logik dan relevan bagi babak-babak tertentu, banyak babak dalam filem ini bakal mengundang persoalan.

Contohnya, babak kejar-mengejar di antara helikopter The A Team dengan tentera Mexico, di mana aksi komedi keterlaluan yang cuba dipaparkan ketika saat-saat cemas B.A Baracus (lakonan Quinton 'Rampage' Jackson) hampir tercampak keluar daripada helikopter dan hanya bergayut di palang helikopter selama beberapa minit pastinya mengundang pertikaian bagi sesetengah individu.

Namun, ketepikan isu logik dan tidak logik kerana filem ini berteraskan genre aksi komedi. Yang penting, apa yang dipaparkan pada visual itu mampu buat seluruh panggung pecah perut dan itu sudah memadai untuk menyifatkan The A Team sebagai sebuah filem yang berjaya buat kita terhibur.

Di sebalik apa jua kelemahan, kekuatan filem ini terletak pada suntikan dialog yang lucu dan spontan serta lakonan bersahaja keempat-empat bintang utamanya, Liam Neeson (Hannibal), Bradley Cooper (Lt. Templeton 'Faceman' Peck) , Quinton 'Rampage' Jackson (B.A Baracus) dan Sharlto Copley (Murdock), selain aksi cemas yang menyeronokkan untuk ditonton.

Cukup sekadar menerima aksi dan hiburan yang cuba diterapkan, The A Team memang sebuah filem yang mengujakan.

Jika anda tertekan dan mencari sebuah filem yang penuh gelak tawa dengan aksi yang menghiburkan, The A Team adalah pilihan terbaik untuk sesi menonton wayang anda.

Namun, sekadar peringatan buat ibu bapa yang bercadang untuk membawa anak-anak anda menonton bersama, pastikan anak-anak yang dibawa berumur 13 tahun ke atas.

The A Team kini ditayangkan di pawagam bermula 10 Jun 2010.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

Artikel Lain

Nelayan temui duit dalam perut ikan

Messi gantung but 2021?