suria

Pesona Downey Jr. & Aksi Sang Robot 'Iron Man 2'

Pesona dan kematangan lakonan Robert Downey Jr. nadi utama IM2.
Pesona dan kematangan lakonan Robert Downey Jr. nadi utama IM2.
Pesona dan kematangan lakonan Robert Downey Jr. nadi utama IM2.

JIKA anda tidak puas dengan aksi dan letupan dalam Iron Man (2008), semestinya bahagian kedua filem ini memberi nilai hiburan yang berganda kepada anda. Filem yang bukan sahaja sarat dengan aksi, letupan dan pesona ini kembali menggegar pawagam dengan drama dan emosi yang lebih menonjol.

Daripada mata kasar, mungkin ramai yang melabel filem bergenre aksi seumpama Iron Man 2 (IM2) sebagai filem aksi hiburan yang diadaptasi daripada komik popular Marvel semata-mata.

Namun harus disemat dalam kotak minda, jarang sekali filem aksi Hollywood sekadar menghidangkan hiburan kosong, lazimnya suntikan emosi, moral, estetika mahupun ideologi tertentu akan diserapkan dalam plot filem-filem mereka.

Begitu juga bagi filem terbaru arahan Jon Favreau ini. Tontonilah filem ini dan anda bukan hanya akan terhibur, malah beberapa nilai mesej dan emosi akan menyerapi anda sepanjang durasi filem selama 2 jam 3 minit itu.

Secara keseluruhan, IM2 sebuah filem yang baik daripada pelbagai segi. Aspek paling menonjol dan sewajarnya diberi pujian adalah lakon layar, garapan dan aksi.

Pertarungan antara robot-robot baik (yang diterajui Robert Downey Jr. dan Don Cheadle) dan geng robot jahat yang dikawal oleh Mickey Rourke, baik di udara mahupun di darat, pasti buat anda ternganga keasyikan.

Suntingan dan transisi babak ke babak dibuat dengan kemas dan seiring dengan momentum cerita yang pantas. Malah, imej janaan berkomputer (CGI) dalam babak-babak penting ini juga dihasilkan dengan cukup halus dan teliti.

Favreau di kerusi pengarahan, menjalankan tugasnya dengan baik sekali. Momentum dan naratif IM2 disusun dengan baik. Tidak sekali pun kebosanan sempat singgah kerana hampir setiap babak bermakna dan rugi untuk dilepaskan.

Bercerita tentang lakonan, sisi lakonan Robert Downey Jr. sebagai Tony Stark disifatkan jauh lebih matang daripada mana-mana filem lakonannya terdahulu. Lebih pesona dan lebih seksi, Downey Jr. mampu memikat mata anda hampir dalam setiap babak.

Bukan kerana bahasa tubuh atau lirikan mata sahaja dipersembahkan dengan baik, malah permainan emosinya juga mampu meresapi jiwa penonton.

Namun, lakonan yang dianggap paling seksi adalah lakonan Mickey Rourke, sebagai bajingan yang memainkan watak duo Ivan Vanko/Whiplash. Wataknya diterjemah dengan baik dan kelihatan menggerunkan sekali. Pelakon filem Sin City itu cemerlang menonjolkan sisi gelapnya yang penuh dendam terhadap Tony Stark serta empayarnya.

Begitu juga dengan watak Nick Fury (lakonan Samuel L. Jackson) dan Justin Hammer (lakonan Sam Rockwell) yang turut menonjol dengan watak-watak masing. Walaupun watak Jackson hanya sebagai penampilan khas, namun dia benar-benar membuktikan karismanya sebagai bintang kelas A.

Pujian juga harus dilayangkan kepada Rockwell yang begitu bersahaja dan realistik seadanya. Rockwell yang sememangnya terkenal dengan gestur dan bahasa tubuh yang hiperaktif dan mempersona, melakukannya sekali lagi dalam IM2.

Bagaimanapun, dua watak wanita Pepper Potts (lakonan Gwyneth Paltrow) yang berhadapan dilema untuk menerajui operasi Stark Industries selepas dilantik sebagai CEO dan watak baru Natalie Rushman (lakonan Scarlett Johansson) sebagai staf baru Stark Industries yang bukan sahaja seksi dan menggiurkan malah boleh bergasak dengan baik, sedikit kurang menyerlah berbanding watak-watak lain.

Kehadiran dua jelitawan ini memang penting sebagai tarikan dan keseimbangan perwatakan dalam filem ini, cuma bukan watak yang akan terus dikenang selepas filem tamat.

Mungkin yang paling diingati, aksi pertarungan Johannson dalam sut Black Widow, itu pun kerana 'keseksiannya' ketika bergaduh. Namun, Paltrow sekadar biasa-biasa tapi tidak mengecewakan.

Kolaborasi Justin Theroux (lakonlayar) dan Jon Favreau boleh dilabelkan sebagai cemerlang. Mereka bijak memanipulasi watak dan lakonan setiap karakter dengan kemas dan menawan.

Secara keseluruhan, filem IM2 adalah sebuah filem francais yang wajar ditonton kerana pakej hiburan dan aksi yang ditawarkan berbaloi dengan tiket yang anda beli. Bukan omong kosong tetapi IM2 adalah aksi sang robot yang pasti buat anda tersenyum selepas meninggalkan panggung.

Sekadar peringatan, jangan berganjak daripada kerusi anda walaupun kredit akhir sudah muncul di skrin kerana ada sesuatu yang menanti di penghujung filem.

IM2 mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 April 2010.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain