suria

[V] Ridzuan Hashim meninggal dunia, rebah ketika sarapan

PELAKON Ridzuan Hashim meninggal dunia di kediamannya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur sekitar pukul 11 pagi, Khamis.

Perkara tersebut disahkan oleh anak saudaranya iaitu pelakon Iman Zulkarnain yang memaklumkan Allahyarham tiba-tiba rebah ketika sedang bersarapan.

Allahyarham berusia 62 tahun.

"Arwah meninggal dunia di rumahnya, ketika itu dia sedang bersarapan dan tiba-tiba sahaja jatuh.

"Kemudian anak lelakinya melakukan pemeriksaan dan memberi bantuan pernafasan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

ridzuan hashim 2

Iman (baju hitam) bersama Ridzuan dan keluarga ketika sambutan Aidilfitri.

"Apabila tiba di hospital, arwah disahkan sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi mStar.

Iman turut memaklumkan Ridzuan menghidap masalah jantung dan angin ahmar.

Dalam pada itu, Iman memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.

"Setakat ini kami pun belum dapat lagi kepastian punca kematian daripada pihak hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak-anak restu hubungan Cat Farish dan Shikin Maembong, tak mahu bercinta lama-lama

ARTIKEL BERKAITAN: Muka tak layak jadi hero, sesuai bawa watak penyangak... Idzham Ismail hampir ‘give up’, terfikir tinggalkan dunia lakonan

Pelakon itu juga dikatakan sudah lama tidak aktif dalam dunia lakonan akibat masalah kesihatannya itu.

"Jenzah akan diuruskan dan dikebumikan hari ini (Khamis)," jelasnya.

Sementara itu, arwah kali terakhir dilihat meraikan Aidilfitri bersama bekas isterinya, Didie Alias bersama anak-anaknya di sebuah resort di Melaka.

Allahyarham dilahirkan pada 13 Ogos 1961 di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan Didie pada tahun 1991 namun rumah tangga mereka hanya bertahan sehingga 2002.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Dhaniyah, 30, Muhammad Dhanial, 29, Nur Dinie, 27, Nur Danie, 25 dan Nur Diana, 24 tahun.

Antara filem lakonan Allahyarham ialah Antara Dua Hati (1988), Hati Bukan Kristal (1990), Lurah Dendam (1996), Ghazal Untuk Rabiah (1997), Sri Dwi Malam (2001), Cinta 200 Ela (2002) dan KL Gengster.

Beliau juga pernah memenangi anugerah Pelakon lelaki terbaik FFM ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain