suria

Uji Rashid imbau cabaran jaga Cico Harahap akibat diracun sahabat sendiri, terpaksa pinjam duit rakan bayar bil hospital

Uji Rashid berkongsi kisah duka yang dilaluinya satu ketika dulu.

UMUM mengetahui dugaan yang terpaksa dilalui penyanyi veteran Uji Rashid yang terpaksa menjaga anak lelakinya iaitu pelakon Cico Harahap yang didakwa mengalami penyakit misteri sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, keadaan Cico atau Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 45, sebenarnya adalah disebabkan perbuatan khianat rakannya sendiri yang meracun pelakon filem Mami Jarum berkenaan.

Mengimbau kepayahan menjaga Cico, Uji atau Fuziah Haroun Al Rashid, 70, berkata, pernah satu ketika dia terputus sumber kewangan dan tidak mampu membayar bil rawatan Cico di hospital.

Kata Uji, selepas Cico disahkan diracun oleh rakannya pada 2016, dia dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) dan terpaksa menanggung bayaran yang tinggi disebabkan pusat perubatan itu adalah separa kerajaan.

uji2 - 1

Uji melalui detik sukar sewaktu Cico menderita sakit diracun.

"Selepas bawa Cico ke klinik, anak saya dibawa ke HCTM dan saya memang melalui detik sukar kerana saya tidak tahu hospital itu merupakan hospital separa kerajaan, jadi saya perlu bayar," katanya kepada mStar.

Uji berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Melakar Pahala Warnai Raya yang diadakan di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Selangor pada malam Rabu.

Dalam pada itu, Uji memberitahu dia cuba mencari ikhtiar sehingga menghubungi persatuan-persatuan seni, namun tidak menerima maklum balas yang baik.

Akhirnya, penyanyi legenda 70-an itu dibantu oleh rakan-rakannya bagi melangsaikan bil rawatan hospital Cico.

ARTIKEL BERKAITAN: Cico anak Uji Rashid diracun dalam ‘party’ hari lahir! - "Saya masih ingat dia muntah-muntah, wajahnya dipenuhi darah"

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya Lewat Bayar Sewa, Uji Rashid Tanggung Malu Tersebar Berita Diusir

"Awak tahu saya buat apa? Saya hubungi Seniman tetapi mereka cakap tidak ada bantuan yang boleh diberikan.

"Saya telefon Finas semua tetapi tidak dijawab. Saya menangis. Akhirnya, saya telefon kawan untuk minta bantuan kewangan.

"Alhamdulillah, hasil bantuan kewangan daripada kawan-kawan, saya dapat langsaikan bayaran bil hospital," ujarnya.

Pada 2016, Cico mengalami masalah kesihatan yang serius selepas diracun oleh rakan-rakannya ketika menghadiri sebuah majlis sambutan hari jadi salah seorang kenalannya.

Badan dia pada waktu itu sangat lembik, angkat tangan dia jatuh, lembik macam sayur.

UJI RASHID

PENYANYI

Menurut Uji, pada mulanya dia tidak sedap hati dan enggan memberi keizinan buat Cico untuk keluar, namun terpaksa akur dengan kehendak anak lelakinya itu.

"Sewaktu saya ke majlis pengebumian Tan Sri SM Salim, dia ada cakap nak pergi birthday kawan. Pada waktu itu saya mula tak sedap hati dan tidak mahu izinkan dia pergi.

"Tapi dia berkeras nak pergi juga dan tak balik-balik, malah tak ada telefon saya langsung. Bila saya hubunginya, telefon dia tidak aktif. Jadi, saya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena," ujarnya.

Sejurus pulang ke rumah, penyanyi lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu melihat Cico sudah terlantar di atas katil dengan keadaan yang memilukan.

uji11 - 1

Uji tidak sedap hati melepaskan Cico pergi ke majlis ulang tahun kelahiran rakannya.

Badan aktor filem Puteri Impian itu turut menjadi lembik dan dia sudah tidak lagi boleh bercakap.

"Balik daripada pengebumian, saya nampak dia terlantar di katil dengan tompokan darah dan muka berbuih.

"Badan dia pada waktu itu sangat lembik, angkat tangan dia jatuh, lembik macam sayur.

"Saya gementar kerana tidak pernah dia jadi macam tu. Saya berikan dia air, habis meleleh tak masuk ke dalam mulutnya," jelasnya.

uji3 - 1

Pelbagai ikhtiar diusahakan oleh Uji untuk merawat Cico.

Sementara itu, Uji turut memberitahu sudah banyak ikhtiar yang diusahakan termasuk mendapat bantuan daripada pelakon Ashraf Muslim dan Ustazah Sharifah Khasif.

Biarpun kesihatan Cico masih belum pulih sepenuhnya, tetapi keadaannya kini dilaporkan bertambah baik.

"Ashraf Muslim datang melawat Cico dan berikan beberapa surah untuk dihafal. Sharifah Khasif pun tolong. Pusat-pusat tahfiz juga bantu untuk merawat penyakit Cico itu.

"Kami pun dah puas berubat di macam-macam tempat. Kalau ikutkan, Cico masih belum 100 peratus pulih. Tapi bila kita bercakap dengan dia, dia boleh dengar, faham dan boleh menjawab," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain