suria

Jibob Raja Lawak alami pendarahan otak selepas jatuh di bilik air - “Buat masa sekarang, saya tak tahu bila dia akan sedar”

Jibob alami pendarahan otak selepas jatuh dalam bilik air.

PELAWAK Jibob Raja Lawak berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi membuang darah beku di otak pada pagi Khamis.

Isterinya, Siti Aisyah, 38, berkata, Jibob atau Mohd Hamizi mengalami serangan angin ahmar sehingga menyebabkan lumpuh separuh badan selepas terjatuh dalam bilik air di kediamannya sekitar pukul 1 pagi, Khamis.

"Sekitar pukul 1 pagi, Jibob kejutkan saya dan beritahu tangan kanannya sakit sebab dia terjatuh dalam bilik air. Saya ajak pergi hospital tapi dia kata nak tidur sekejap.

Amir berkongsi berita mengenai Jibob di Instagramnya.

"Satu jam kemudian, dia kejutkan saya semula tapi waktu itu separuh badan dia dah tak boleh bergerak. Saya terus hubungi ambulans dan bawa ke Hospital Serdang.

"Selepas pemeriksaan doktor beritahu ada pendarahan dalam otak dan terus pindahkan dia ke HKL untuk jalani pembedahan buang darah beku," katanya kepada mStar.

Sementara itu, Amir Raja Lawak menerusi Instagram memohon orang ramai mendoakan kesihatan rakannya itu.

Amir turut berharap orang ramai dapat membantu menghulurkan bantuan atau sumbangan bagi meringankan urusan keluarga pelawak berusia 35 tahun itu.

Keadaan Jibob kini stabil selepas jalani pembedahan buang darah beku dalam otak.

Dalam pada itu, Aisyah berkata, suaminya masih belum sedar dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Alhamdulillah keadaan Jibob kini sudah stabil selepas beberapa jam jalani pembedahan tapi dia masih di bilik ICU sebab doktor beri ubat tidur supaya otak dapat berehat.

"Buat masa sekarang, saya tak tahu bila dia akan sedar. Apa-apa pun, saya berharap semua orang mendoakan keadaan Jibob," ujarnya.

Jibob, Raja Lawak

Artikel Lain