Zahirah MacWilson selamat bergelar isteri Aiman Hakim Ridza

Zahirah dan Aiman luah rasa syukur dan gembira majlis yang dirancang berjalan dengan lancar.

TEKA-TEKI tarikh pernikahan Zahirah MacWilson dan Aiman Hakim Ridza terjawab apabila pasangan itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada malam Khamis.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Zainol Mac Wilson di Foyer GlamHall Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya pada pukul 9 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahirah MacWilson, Aiman nikah Khamis ini? - “Bukan tak nak kongsi tapi...”

Pelakon filem Bulan & Pria Terhebat ini meluahkan rasa syukur dan gembira apabila majlis yang dirancang berjalan dengan lancar.

Zahirah ditemani ibunya, Maslinda Yusoff. Foto: CSTPRODUCTION.

"Alhamdulillah, sempurna sudah majlis yang saya tunggu-tunggu. Sejujurnya, saya agak nervous sejak beberapa minggu menjelang majlis ini.

"Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan saya berasa sangat gembira dan sangat besyukur kepada Allah SWT," katanya

Pada majlis pernikahan itu, pengantin perempuan menerima wang tunai RM300 sebagai mas kahwin bersama tujuh berbalas lima dulang hantaran.

Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 200 jemputan yang terdiri daripada keluarga, rakan terdekat, selebriti dan media.

Alhamdulillah saya kini bergelar suami dan kini bermulalah tanggungjawab saya untuk isteri, keluarga saya dan keluarga isteri saya.

AIMAN HAKIM RIDZA

PELAKON

Dalam pada itu, Aiman memberitahu dia kini sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.

"Alhamdulillah saya kini bergelar suami dan kini bermulalah tanggungjawab saya untuk isteri, keluarga saya dan keluarga isteri saya.

"Saya berharap kalian doakan yang terbaik buat ikatan pernikahan kami ini dan semoga ianya kekal sehingga ke Jannah," ujarnya.

Pada majlis yang bertemakan Rustic, pasangan pengantin memakai busana rekaan pereka fesyen terkenal Teh Firdaus dan solekan oleh Bosco Ryzal.

Foto pra-perkahwinan Aiman dan Zahirah.

Manakala pengantin lelaki pula memilih persalinan baju Melayu rekaan Cosry.

Zahirah, 25 dan Aiman atau nama sebenar Aiman Hakim Ridza Abdoh, 31, akan mengadakan majlis resepsi di Glam Hall Damansara, Petaling Jaya pada Jumaat.

Menerusi laporan mStar pada Isnin lalu, Zahirah memberitahu dia tidak berniat untuk merahsiakan mengenai hari bahagianya, sebaliknya ingin memberi kejutan.

Zahirah dan Aiman mengikat tali pertunangan pada 8 Jun tahun lalu di kediaman keluarga aktres itu di Perth, Australia selepas hampir enam bulan menjalinkan hubungan cinta.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Memulakan langkah pemulihan ekonomi