suria

Kurang penyertaan, Profima buka peluang karya di media sosial untuk dipertandingkan di AP2019

Rusila (dua dari kiri) dan Khir Mohd Noor (dua dari kanan) berharap lebih banyak penyertaan pada tahun ini untuk Anugerah Profima 2019.

PERSATUAN Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) memerlukan dana sekitar RM700,000 untuk menjayakan Anugerah Profima 2019 (AP2019) yang akan diadakan pada 14 Disember depan.

Presidennya Kapten (K) Khir Mohd Noor berkata dana tersebut bagi menampung kos majlis makan malam, sistem bunyi, trofi serta bayaran artis membuat persembahan pada malam tersebut.

"Anugerah Profima sebenarnya tidaklah memerlukan belanja yang besar seperti filem festival atau anugerah-anugerah berprestij yang lain.

"Tapi kami perlukan dana lebih kurang RM600,000 hingga RM700,000 untuk kesemua kos seperti makan malam, sistem bunyi, trofi dan bayaran artis yang akan membuat persembahan.

"Alhamdulillah sebelum ini kami capai sasaran dan dapat melunaskan semua bayaran selepas tamat majlis. Kalau ada tajaan yang besar, boleh la buat majlis anugerah ini lebih meriah," katanya kepada mStar.

Jawatankuasa penganjur menunjukkan trofi yang bakal diterima oleh pemenang.

Khir ditemui ketika sidang media Anugerah Profima 2019 edisi yang ke-12 di Restauran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Selasa.

Anugerah yang diadakan bertujuan untuk menghargai dan mengangkat nilai serta kedudukan pekerja belakang tabir ini bakal diadakan di Dewan Merdeka, PWTC pada 14 Disember depan.

Anugerah ini sudah diadakan buat kali ke-12 dan sebanyak 57 kategori akan dipertandingkan antaranya Pengarah Terbaik dan Penataan Cahaya Terbaik. 

Dalam pada itu, Setiausaha Profima, Datin Rusila Hashim meluahkan rasa sedih apabila beberapa kategori yang dipertandingkan kurang mendapat penyertaan.

Menurut Rusila, disebabkan perkara itu pihak Profima pada tahun ini membuka peluang untuk penyertaan untuk karya-karya yang dihasilkan menerusi platform laman sosial dan internet.

Penganjuran bertujuan mengangkat martabat dan karya anak seni.

"Sebenarnya kami sedih apabila penyertaan dari kategori Dokumentari, Animasi, TVC dan TV Majalah sikit sahaja pada edisi ke-11 yang diadakan pada dua tahun lalu.

"Bila penyertaan terlalu sedikit, juri-juri nak mengadili sesebuah karya itu jadi tidak seronok sebab mereka nak tengok lagi yang lebih baik tapi itu sahaja yang hantar penyertaan.

"Sebab itu tahun ini kami bukan sahaja buka penyertaan untuk karya yang ditayangkan di pawagam dan televisyen tetapi platform laman sosial dan internet juga. Harap dengan peluang ini lebih banyak penyertaan," ujarnya.

Tarikh penghantaran pencalonan bermula sejak 15 Julai lalu sehingga 10 November depan dan hanya karya yang telah ditayangkan dari Januari 2017 hingga Jun 2019 sahaja layak untuk bertanding.

Profima

Artikel Lain