suria

Nassier Dituduh Buat Haji Guna Wang Haram

Nassier Wahab sedih dituduh mengerjakan haji menggunakan duit daripada sumber yang meragukan. Foto Instagram: @nassierwahab

PENYANYI Datuk Nassier Wahab terkilan apabila ada suara sumbang yang mempertikaikan sumber kewangan yang digunakannya untuk mengerjakan ibadah Haji hujung bulan lalu.

Nassier berkata, dia berkecil hati apabila ada yang menuduhnya mengerjakan ibadah haji menggunakan duit daripada sumber haram.

Isu ini dibangkitkan netizen apabila namanya dikaitkan dengan kontroversi membabitkan usahawan dan pelakon Datuk Boy Iman.

"Astaghfirullah, tergamak mereka menuduh saya guna duit haram hasil menipu orang ramai untuk buat Haji.

"Ya Allah, kecil hati saya apabila dituduh sedemikian rupa. Sedangkan saya gunakan duit simpanan sendiri.

"Kalau ikutkan duit simpanan saya sepanjang menjadi penghibur sudah lebih daripada cukup," katanya kepada mStar Online.

Komen Nassier Wahab Tentang Isu Boy Iman

Nassier akui ini ujian dan dugaan terbesar dihadapinya sepanjang bergelar anak seni.

Isu ini dibangkitkan netizen kerana dia merupakan duta kepada salah satu produk DBI milik Boy Iman.

Boy Iman menerusi syarikat miliknya iaitu DBI Property disiasat pihak berkuasa berhubung kes penjualan rumah murah.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 55 tahun ini turut bersedih apabila ada yang mempertikaikan penganugerahan darjah kebesaran bergelar Datuk yang diterimanya.

"Selama 30 tahun saya berkecimpung dalam industri seni, ini merupakan penghargaan tertinggi yang diberi oleh Istana Pahang.

"Apabila ada yang mempertikaikan tentang darjah kebesaran yang diberi, mereka seolah-olah tidak menghormati institusi diraja. Sedangkan dalam hal ini, istana menghargai sumbangan anak seni.


Nassier diundang menjayakan persembahan bersempena Jubli Emas 50 tahun Sultan Brunei menaiki tahta di negara Brunei Darussalam pada 6 Oktober lalu.

"Saya bukan sahaja mempunyai hubungan yang baik dengan istana Pahang, malah sering diundang membuat persembahan di istana termasuklah istana Brunei," katanya.

Nassier dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, awal tahun ini.

Ditanya mengenai kedudukannya sebagai duta DBI Technology, Nassier memberitahu dia akan mempertimbangkan jalan yang terbaik sebelum membuat keputusan.

"Pihak pengurusan syarikat memaklumkan akan adakan satu pertemuan apabila mereka sudah bersedia.

"Dalam hal ini, saya akan buat keputusan yang terbaik untuk semua pihak dan akan maklumkan kemudian," katanya yang mengikat kontrak sebagai duta sehingga pertengahan tahun depan.

Nassier Wahab, Boy Iman

Artikel Berikut

Artikel Lain