suria

“Perangai Tak Berubah, Fathia Digugurkan” - Produser

Fathia Latiff digugurkan membintangi drama Laluna yang sudah menjalani penggambaran hampir dua minggu.

PENERBIT syarikat produksi TenView Sdn Bhd, Norazah Sahud kecewa dengan sikap pelakon Fathia Latiff yang tidak berdisiplin sehingga memaksanya menggugurkan pelakon tersebut daripada membintangi drama Laluna (RTM).

Norazah, 45, berkata keputusan yang dibuat produksi atas perbincangan bersama pengarah selepas Fathia hadir ke lokasi dalam keadaan tidak terurus semasa penggambaran drama tersebut di Johor Bahru.

"Pada 14 September dia sudah mula buat hal dengan datang lambat ke set penggambaran, lebih dahsyat pada 15 September dia datang dalam keadaan tidak terurus.

"Saya tahu dia memang ada masalah disiplin, saya beri peluang kerana dia pernah berjanji untuk buat yang terbaik namun perangainya masih tak berubah.

"Kami terpaksa membuat keputusan ini kerana tidak mahu menanggung akibat kerana baki penggambaran masih panjang lagi" katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Barisan pelakon dan kru penggambaran drama Laluna.

Norazah turut menafikan laporan sebuah blog hiburan yang mendakwa pengarah drama itu Liza Ismail telah menghalau Fathia di set penggambaran.

Jelasnya, Fathia tidak dihalau sebaliknya dia sendiri yang melarikan diri bersama seorang teman menaiki kenderaan.

"Selepas ditegur kerana tidak memberi komitmen, Fathia melarikan diri menaiki kenderaan bersama seorang teman iaitu pelakon baharu.

"Saya sudah berada dalam industri ini hampir 22 tahun dan telah menerbitkan banyak drama, ini kali pertama saya melayan ragam seorang artis yang paling bermasalah," katanya.

Dalam pada itu, produksi sudah mempunyai beberapa calon pelakon yang akan menggantikan watak Luna yang sebelum ini disandang oleh Fathia.

Walau bagaimanapun, Norazah masih belum mahu mengumumkan pengganti untuk watak utama tersebut.

"Insya-Allah, penggambaran akan bermula Selasa depan dan beberapa babak yang dilakonkan oleh Fathia sebelum ini perlu dirakamkan semula oleh pelakon pengganti.

"Sebelum kami perlu tanggung kerugian yang lebih besar, lebih baik kami ganti orang lain secepat mungkin," katanya.

Terdahulu, sebuah rakaman video pelakon Natasha Elyzza dan seorang wanita persis Fathia sedang menari dengan berpakaian seksi tersebar di laman sosial.

Hari ini video kedua wanita yang dikatakan mirip Fathia tersebar hanya memakai tuala putih menjadi bualan hangat netizen.

Bagaimanapun, usaha mStar Online untuk mendapatkan penjelasan Fathia tidak berhasil apabila dia mengambil langkah berdiam diri dan tidak menjawab mesej dihantar.

Fathia Latiff

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain