suria

Suami Tidak Galakkan Marsha Aktif Berlakon

Marsha bakal keluar single baharu.

PETALING JAYA: Penyanyi Marsha Milan Londoh memberitahu suaminya Mohamed Shaiful, 29, tidak menggalakkan untuk dia terlalu aktif dalam bidang lakonan.

Marsha, 31, berkata, banyak faktor yang perlu diambil kira untuk menerima tawaran berlakon termasuk komitmen penggambaran yang panjang kerana ia boleh menjejaskan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Saya akan lebih tumpu kepada bidang nyanyian dan pengacaraan, bukan saya tidak mahu berlakon cuma selepas berkahwin ada banyak yang perlu diambil berat terutamanya yang melibatkan penggambaran terlalu lama.

"Kalau boleh saya tidak mahu balik rumah lambat terutama pada fasa baru berkahwin ini.

"Suami tidak melarang cuma dia tidak menggalakkan sahaja dan dia minta saya pilih tawaran yang benar-benar berbaloi," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah pelakon drama Keluarga Pontimau ini, dia juga tidak mahu melakonkan watak-watak yang kurang sopan dan tidak sesuai dengan statusnya sebagai seorang isteri. 

Marsha bersama suaminya Mohamed Shaiful Nizam.

Marsha mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 31 Disember 2015 di  Georgetown, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, berkongsi tentang kehidupan rumah tangganya, Marsha berkata, suaminya tidak gemar untuk menemaninya menghadiri majlis-majlis hiburan.

Malah sikap pemalu pemuda itu juga membuatkan dia jarang berkongsi foto bersama di Instagram.

"Dia tidak mahu ikut saya ke majlis hiburan kerana malu. Malah kalau ajak dia teman ke majlis kahwin pun dia tidak mahu.

"Kami juga jarang muat naik gambar bersama di Instagram kerana dia tidak suka ambil gambar. Selalu hanya gambar tangan dia sahaja yang ada di foto Instagram saya," ujarnya.

Sementara itu, Marsha berkata, sejak berkahwin dia kini menemui hobi baharu iaitu memasak.

Katanya, dia cuba belajar untuk masak makanan Melayu yang menjadi kegemaran suaminya.

"Saya sekarang suka memasak dan mencipta makanan baharu. Selain itu saya juga belajar sedikit-sedikit makanan Melayu yang suami saya suka tapi setakat ini belum berapa pandai lagi.

"Masakan saya dia tidak gemar sangat, kenalah belajar makanan yang dia suka makan," ujarnya.

Selain itu, dalam perkembangan nyanyian, penyanyi lagu Yang Terbaik ini berkata, dia sedang dalam proses akhir untuk rakaman single terbaharu daripada komposer Omar K.
Marsha Milan

Artikel Lain