suria

Kenali Ikhwan Sebagai Nawhki, Sudah Sedia Berumah Tangga

Ikhwan atau mahu dikenali sebagai Nawhki sudah bersedia untuk menamatkan zaman solonya. Foto IZZRAFIQ ALIAS

PETALING JAYA: Penyampai radio, Ikhwan akan menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Hidayu selepas bapa wanita itu pulang daripada mengerjakan ibadah Haji.

Ikhwan atau nama sebenarnya Mohd Khairul Ikhwan, 33, berkata, dia merancang untuk berkahwin secepat mungkin dan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

"Saya sudah bersedia untuk berumah tangga dan berhasrat untuk memperisterikan Hidayu secepat mungkin.

Ikhwan tidak melihat status ibu tunggal bakal isterinya sebagai halangan.
"Bagaimanapun bagi menghormati bapanya, saya akan meminta kebenaran dan restu daripada keluarga dan bapanya sebelum merancang hal-hal lain.

"Insya-Allah, jika tiada sebarang halangan kami akan berkahwin secepat mungkin," katanya kepada mStar Online.

Ikhwan ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya yang turut menampilkan Didi Astillah berjudul Percaya di pejabat Warner Music di sini, Khamis.

Tambah Ikhwan, walaupun mereka baharu lima bulan bercinta namun ia bukan penghalang untuk mereka berkahwin kerana paling penting persefahaman dan percaya antara satu sama lain.

"Saya pernah dua kali putus tunang dan kalau boleh tidak mahu bercinta lama-lama dan paling penting kami bersedia," ujarnya.

Dalam pada itu, Ikhwan berkata, dia tidak pernah melihat status Hidayu yang juga seorang ibu tunggal beranak satu sebagai penghalang untuk mereka bersama.

Malah keluarganya juga tidak pernah menghalang kerana bapa dia sendiri berkahwin dengan ibunya yang juga seorang ibu tunggal beranak tiga.

"Saya tidak rasa perkara itu sebagai pelik atau penghalang kerana paling penting kami saling sayang menyayangi dan dapat menerima kebaikan dan kekurangan yang ada.

Ikhwan tampil dengan single duet bersama Didi Astillah.
"Keluarga saya juga tidak menghalang kerana saya sendiri sejak kecil sudah membesar dengan adik-beradik tiri kerana bapa ketika berkahwin dengan ibu, dia juga ibu tunggal dengan tiga anak.

"Alhamdulillah sehingga kini kami adik beradik sangat rapat malah ayah tidak pernah membeza-bezakan kami," katanya.

Malah dia kini mempunyai hubungan rapat dengan anak teman wanitanya dan mula menyayangi kanak-kanak berusia sembilan tahun itu.

Dalam perkembangan lain, Ikhwan berkata, dia melancarkan single terbaharunya kerana ingin bergiat serius dalam bidang muzik.

Malah katanya, bagi membezakan personalitinya sebagai penyampai radio dan penyanyi, dia mahu dikenali sebagai Nawhki sebagai nama pentas.

"Sebelum ini saya pernah melancarkan beberapa buah lagu dan kolaborasi dengan penyanyi rap seperti RJ, Daly, Filsuf dan Dynda tetapi ia tidak terlalu menonjol.

"Tetapi menerusi Percaya saya benar-benar serius dalam memperkenalkan diri sebagai penyanyi rap selain seorang penulis lirik.

"Bidang muzik sentiasa menjadi minat saya sejak kecil dan Alhamdulillah saya diberi peluang untuk mencuba selepas pernah berlakon, mengacara dan sebagai deejay," katanya.



Ditanya mengenai kesukaran untuk mempromosikan lagu tersebut memandangkan dia seorang penyampai radio, Ikhwan berkata, dia tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan.

Sebaliknya kata Ikhwan, pada zaman serba moden pada hari ini, pendengar tidak hanya bergantung kepada radio tetapi platfrom digital lain seperti YouTube, Spotify dan laman sosial untuk mendengar lagu.

"Saya terima hakikat jika steseb radio lain tidak mahu putar lagu saya kerana situasi itu adalah perkara biasa.

"Tetapi saya yakin paltfrom digital lain adalah medium terbaik dalam mempromosikan lagu Percaya tambahan pula anak muda zaman sekarang lebih gemar mendengar lagu menerusi aplikasi tertentu seperti YouTube sab Spotify," katanya.
Ikhwan, Nawhki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain