suria

Rykarl Iskandar Kembali Bersekolah Selepas Dua Tahun Belajar Di Rumah

Rykarl Iskandar tercalon dalam kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik. FOTO: HAFIS IDZLA
KUALA LUMPUR: Pelakon kanak-kanak Rykarl Iskandar teruja untuk kembali semula belajar bersama rakan-rakan di sekolah selepas dua tahun beralih ke pembelajaran dari rumah atau home schooling.

Rykarl, 11, berkata, dia akan mula belajar di sekolah kebangsaan yang sama iaitu Sekolah Rendah Sri Pintar Al-Amin tahun depan bagi membuat persiapan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Tahun depan saya akan belajar di sekolah semula dalam darjah enam untuk lebih fokus menghadapi UPSR.

"Perasaannya gembira kerana dapat jumpa dan belajar dengan kawan-kawan lama yang dulu satu kelas sebelum mengambil keputusan belajar di rumah," ujarnya kepada mStar Online.

Rykarl ditemui pada sesi fotografi calon finalis Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28), yang diadakan di Hotel Park Royal di sini pada Selasa. 

Rykarl bakal kembali belajar di sekolah tahun depan. FOTO: HAFIS IDZLA
Dalam pada itu, Rykarl berkata, dia turut memperlahankan kerjaya lakonannya tahun depan bagi memberi fokus kepada pelajaran.

"Kalau ikutkan sekarang pun sudah perlahan sebab keluarga saya mahu saya fokus betul-betul belajar dari sekarang.

"Saya mahu kerjaya seni dan pendidikan seiring, saya juga ada cita-cita untuk menjadi seorang penerbit dan pengarah yang berjaya satu hari nanti," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang pencalonan kategori Pelakon Kanak-Kanak terbaik menerusi filem Cicakman 3, Rayqal berkata, dia tidak menaruh harapan tinggi untuk menang.

Pemenang kategori yang sama dua tahun berturut-turut ini mengakui berhadapan dengan calon-calon yang sengit kali ini.

"Dua tahun berturut-turut saya berjaya meraih kemenangan kategori yang sama dan tahun ini saya tidak letak harapan tinggi.

"Tahun ini ramai yang hebat-hebat dan kalau berjaya sekali lagi ia sebagai satu bonus" ujarnya.

Rayqal bakal bersaing dengan pelakon Aliff Firdaus (Jejak Warriors), Harvind Raj (Jagat), Shivatharan Nambiar (Ola Bola), dan Tan Qin Lin (The Kid From The Big Apple).

Malam kemuncak festival berprestij itu bakal diadakan pada 3 September depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pukul 9 malam.

Ia turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD.
Ryqal Iskandar, Cicakman 3

Artikel Lain