suria

Isu Peluk Islam, Keluarga Acappan Masih Terluka

Acappan

PETALING JAYA: Pelawak Acappan yang sebelum ini dilaporkan memeluk Islam berkata, keluarganya masih trauma dengan berita itu walaupun dia sudah berusaha memujuk mereka dan menjelaskan perkara sebenar.

Acappan atau nama sebenarnya, Samynathan Rethinan, 58, berkata, isteri dan anaknya-anaknya masih bersedih dengan berita itu dan sukar untuk memulihkan kepercayaan mereka.

"Isteri saya seolah-olah sudah tidak percaya kepada saya lagi dan hatinya masih terluka dengan laporan saya kononnya sudah menukar agama.

"Agak sukar untuk memujuk dia yang sedang merajuk,” katanya kepada ketika dihubungi mStar Online.

SILA KLIK: "Hentikan Sebar Berita Tak Benar! Saya Belum Peluk Islam" - Acappan

Kontroversi terhadap Acappan berlaku apabila dia dikatakan sudah memeluk Islam selepas foto-fotonya bersama rakan-rakan artis berbuka puasa di sebuah surau di Sepang pada Ramadan lalu tersebar.

Foto Acappan (tengah) yang tersebar ini pada Ramadan lalu telah mengundang kontroversi.

Namun, Acappan kemudiannya membuat kenyataan menafikan perkara itu dan melahirkan rasa kecewa apabila berita itu menjadi viral sehingga menimbulkan tekanan kepada keluarganya.

Dalam pada itu Acappan berkata, menukar sesebuah agama bukanlah satu perkara mudah sebaliknya dia perlu memikirkan banyak perkara dan sensitiviti pihak-pihak tertentu.

"Saya tak nafikan banyak bercampur dengan rakan-rakan beragama Islam dan mempunyai pengetahuan mengenai agama itu namun belum terbuka hati ke arah memeluk Islam.

"Apabila foto-foto saya di surau menjadi viral, ia bukan sahaja memberi tekanan kepada keluarga saya tetapi kepada diri saya sendiri,” katanya.

Jelas Acappan, setakat ini dua anak lelakinya memahami pendiriannya sementara isteri dan seorang lagi anak perempuannya masih sedih dengan berita itu.

"Anak lelaki senang sikit nak ‘handle’ tapi isteri dan anak perempuan saya, mereka tu seolah-olah tidak percaya kepada saya tetapi saya cuba untuk memujuk mereka,” katanya.

Acapan

Artikel Lain