suria

Lima Tahun Jalani Hukuman, Ameng Dibebaskan Dari Penjara Esok

Gambar fail menunjukkan Ameng ketika membuat persembahan pada majlis anjuran Suria FM.
PETALING JAYA:  Vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng akan dibebaskan dari penjara Kluang, Johor pada Selasa selepas kira-kira lima tahun menjalani hukuman akibat penyalahgunaan dadah.

Sumber Jabatan Penjara berkata, pembebasan itu juga bergantung jika tiada apa-apa perintah yang menghalangnya oleh mahkamah atau mana-mana pihak berkuasa.

AMENG
Ameng (gambar fail)

"Kami percaya Ameng yang mula ditahan di Penjara Kluang pada 13 April 2011 berusaha keras memperbaiki dan melengkapkan dirinya," ujar pihak penjara kepada mStar Online yang merujuk kepada pemulihan Ameng untuk menjadi insan berguna.

Tambah sumber itu, Ameng telah mengikuti semua program latihan, pemulihan serta patuh terhadap disiplin penjara semasa menjalani pemulihan di Penjara Kluang, Johor.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan dadah.

Bagaimanapun hukuman itu dipendekkan atas disiplin dan contoh terbaik yang ditunjukkannya.

Dalam pada itu Ameng dijangka akan membuat kemunculan pertamanya sebagai orang awam pada satu majlis berbuka puasa di Shah Alam, Jumaat ini sempena penganjuran konsert Tiga Suara melibatkannya dan beberapa artis lain. 

Ameng

Artikel Lain