suria

Jue Aziz Rasa Tersisih Kemunculan Pelakon Baharu

Jue Aziz mengakui sedikit sebanyak berasa tersisih dengan kemunculan pelakon-pelakon baharu dalam industri hiburan tanah air.

PETALING JAYA: Pelakon Jue Aziz mengakui sedikit sebanyak berasa tersisih dengan kemunculan pelakon-pelakon baharu dalam industri hiburan tanah air.

Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz, 33, berkata, stesen televisyen terlalu memberi perhatian kepada muka-muka baharu dengan bersandarkan kepada wajah yang cantik semata-mata.

"Itulah kesilapan pihak tertentu yang berada di atas yang memilih lebih daripada rupa berbanding kualiti lakonan mereka.

"Mereka meletakkan harga yang rendah dan boleh buat itu dan buat ini, jadi perkara itu beri kesan kepada pelakon seperti kami.

"Bukan bermaksud pelakon lama seperti saya mahal, harga yang kami beri adalah bayaran kepada pengalaman dan kualiti kerja kami," ujarnya kepada mStar Online.

Jue berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan kerjaya lakonannya.

Dalam pada itu, Jue berkata, imej bertudung tidak memberi kesan kepada kerjaya dan tawaran lakonan yang diterima, sebaliknya kemunculan pelakon-pelakon baharu membuatkan dia dan pelakon seangkatannya kurang mendapat perhatian.

Bagaimanapun, Jue berkata dia reda dengan perkara yang dianggap sebagai lumrah dalam industri hiburan tanah air.

Katanya, selain itu, pelakon baharu mudah untuk berada di puncak dengan bantuan media sosial yang penting bagi mereka.

"Mereka dibantu dengan media sosial yang kuat dan terlalu mudah untuk berada di atas.

"Kalau dulu sangat susah, tapi kesannya populariti yang mereka kecapi tidak lama dan digantikan dengan orang baru pula," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Jue berkata, dia baharu selesai penggambaran filem berjudul Mat Moto Otai yang diarahkan oleh Ahmad Idham.

Filem tersebut turut mengumpulkan pelakon-pelakon lama seperti Sasha Saidin, Wan Sharmila, Cat Farish dan Maznah Zulkifli.

Jue Aziz

Artikel Lain