suria

Penerbit Kesal Teater Islamik Dipandang Sepi Penaja

Pada pelakon 'Di Bawah Lindungan Kaabah'.

PETALING JAYA: Penerbit teater Di Bawah Lindungan Kaabah, Siti Rohayah Attan meluahkan rasa kesal kerana karya terbitannya kurang diberi perhatian oleh pihak penaja.

Siti Rohayah berkata, konsep keagamaan yang dipaparkan membuatkan pihak penaja tidak berminat untuk bekerjasama dengan syarikat produksinya iaitu Ctra Production.

"Saya berasa kesal apabila penaja enggan bekerjasama dengan produksi kami.

"Lebih-lebih lagi konsep keagamaan, Islamik tidak menarik perhatian mereka. Pelik juga kerana ia sebuah naskhah popular karya Profesor Hamka tetapi tiada penaja yang mahu bekerjasama dengan kami," katanya.

siti rohayah attan
Siti Rohayah Attan

Siti Rohayah ditemui pada sidang media memperkenalkan pelakon-pelakon baru Di Bawah Lindungan Kaabah di Istana Budaya pada petang Khamis.

Dalam pada itu, dia turut mengakui bahawa teater tersebut kurang mendapat promosi sekali gus ia menyukarkan kerjanya dalam mendapatkan tajaan.

"Bagaimanapun, sama ada pihak kami mempunyai tajaan atau tidak, pementasan teater ini tetap akan diteruskan kerana produksi kami sudah pun mempunyai kos keseluruhan untuk menjayakannya.

"Cuma apabila mempunyai penaja  ia lebih menguatkan penjenamaan teater ini sendiri," ujarnya.

Di Bawah Lindungan Kaabah yang diarahkan oleh Rosminah Mohd Tahir bakal dipentaskan bermula 9 hingga 18 Mei depan.

Antara barisan pelakon yang terlibat ialah Adi Putra, Nasha Aziz, Elfira Loy, Fizo Omar, Zahid (AF2), Liza Abdullah, Yasmin Hani dan Dayana Roza.

Harga tiket serendah RM30 hingga RM200 dan ia boleh dibeli dengan melayari  www.AirAsiaRedTix.com.

Artikel Berikut

Kuah Jenhan Pelawak 'Bersih'

Artikel Lain