suria

'Orang Tua' Kahwin, Julfekar Enggan Fikir Komen Negatif

Julfekar akui Min Yasmin sentiasa berada disisinya disaat dia berada dalam kesukaran.

PETALING JAYA: Komposer Julfekar Ahmad Shah, 49,  enggan memikirkan pandangan negatif yang dilemparkan selepas dia membuat keputusan berkahwin kali kedua pada usia lanjut dengan penyanyi Min Yasmin yang baharu berusia 25 tahun.

Menurut Julfekar, biarpun masih tidak percaya dengan keputusan untuk mendirikan rumah tangga itu, namun dia menganggap perkara itu sebagai jodoh yang sudah ditetapkan oleh Allah.

"Saya masih lagi seperti tidak percaya dengan keputusan ini sama ada patut atau tidak saya yang sudah tua ini berkahwin lagi.

"Perkara pertama yang saya fikir ialah pandangan tentang orang tua yang berkahwin dengan orang muda, tetapi ini semua saya ketepikan dan anggap ia sudah jodoh yang ditetapkan dan saya tidak boleh menolaknya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Julfekar bakal bernikah dengan Min Yasmin di Masjid Kota Damansara di sini pada pukul 2.30 petang Jumaat (esok).

Sementara majlis resepsi akan berlangsung pada 13 April ini di Restoran N'Dah Mahligai, Shah Alam, dekat sini.

Menerusi perkahwinan pertamanya dengan Zaini Mohd Zain, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan yang berumur antara 23 tahun hingga 30 tahun.

Tiga daripada anak Julfekar telah berumah tangga dan dia juga mempunyai dua orang cucu berusia setahun dan dua tahun.

Dalam pada itu, Julfekar berkata, majlis tersebut bakal dihadiri oleh bekas isterinya sementara anak-anak dan menantunya pula mengambil tanggungjawab sebagai pembawa dulang hantaran.

"Saya bersyukur anak-anak dan bekas isteri saya suka dengan Min, malah mereka yang suruh saya berkahwin supaya ada orang yang akan menjaga pakai dan minum saya.

"Mereka juga banyak membantu dalam membuat persiapan perkahwinan, empat orang anak saya dan tiga orang menantu akan bawa dulang hantaran nanti," katanya.

Sementara itu, ditanya tentang keistimewaan wanita tersebut sehingga membuka pintu hatinya untuk kembali mendirikan rumah tangga, Julfekar berkata, Min seorang yang penyabar dan berfikiran matang.

Katanya, wanita itu sentiasa berada di sisinya biarpun dia  berada dalam kesukaran.

"Kami kenal sejak tahun 2009 lagi ketika dia menjadi pembantu peribadi saya. Dia banyak memberi semangat kepada saya terutama ketika saya berada dalam kesusahan.

"Biarpun kami mempunyai perbezaan usia yang sangat ketara, namun cara pemikiran dia tidak seperti wanita yang seusianya," kata Julfekar.

Sementara itu, ditanya tentang penjagaan kesihatan dia tidak pernah mengamalkan mengambil ubat-ubatan, sebaliknya menghindari pemakanan yang boleh menjurus kepada sesuatu penyakit.

Bagaimanapun, dia mengakui tidak menghadapi sebarang penyakit yang serius pada usia ini.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan keluarga dan cahaya mata, Julfekar memberitahu, dia hanya menyerahkan kepada takdir.

 

Julfekar, Min Yasmin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain