suria

Fizo Omar Sebak Bergelar Suami, Terkenang Pengorbanan Ibu

Fizo dan Mawar sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz. Foto Ihsan ROTIKAYA.
Fizo dan Mawar sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz. Foto Ihsan ROTIKAYA.
Fizo dan Mawar sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz. Foto Ihsan ROTIKAYA.

KAJANG: Pelakon dan pengacara Fizo Omar mengakui tidak dapat menahan sebak sebaik sah bergelar suami kepada Mawar Abdul Karim kerana terkenangkan pengorbanan ibu membesarkannya sehingga saat ini.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 28, berkata, terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan ibunya, Hasnah Jidin, 53, dan dia berharap akan dapat mencurah bakti kepada wanita itu.

"Saya sebak kerana terkenangkan semua pengorbanan ibu selama membesarkan saya sehingga dewasa dan kini saya telah bergelar seorang suami," katanya kepada mStar Online.

Fizo dan Mawar, 24, selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang diadakan di rumah pengantin perempuan di Country Heights di sini pada Ahad.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat, Mohd Arif Abd Samad dan Mawar telah menerima mas kahwin sebanyak RM506.

Dalam pada itu, mengulas mengenai jongkong emas seberat 1.011 kilogram yang dihadiahkan kepada Mawar, Fizo berkata, dia memang berhasrat untuk memberikan hadiah berkenaan kepada wanita yang berjaya menawan hatinya.

"Saya pernah beritahu emak yang jika suatu hari nanti saya bertemu jodoh saya ingin menghadiahkan wanita tersebut jongkong emas sebagai hadiah pada hari perkahwinan kami.

"Alhamdulillah berkat menyimpan sebelum ini saya dapat membelikan Mawar hadiah tersebut untuknya dengan ukiran ‘Fizo Love Mawar’ pada emas tersebut," ujarnya.

Tambah Fizo, kehidupannya kini semakin lengkap dan menganggap perkahwinan sebagai satu permulaan baharu dalam hidupnya sebagai seorang lelaki.

Dalam perkembangan sama, Mawar ketika ditemui berkata, dia tidak akan menghalang atau meletakkan sebarang syarat sekiranya suaminya itu mahu meneruskan karier dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Jelas Mawar, dia akan sentiasa menyokong sebarang keputusan Fizo berhubung kerjayanya dan yakin suaminya itu tahu akan batasan selepas berumah tangga.

Sementara itu, Fizo berkata, mereka bakal berangkat ke Eropah pada Disember ini untuk berbulan madu dan akan berada di sana selama tiga minggu.

Mereka akan menjelajah ke beberapa buah negara di benua itu seperti London, Paris, Itali dan Belanda.

"Sudah beberapa bulan saya dan isteri bertungkus lumus untuk memastikan majlis perkahwinan kami berjalan lancar selain sibuk dengan pelbagai tugas.

"Jadi ini adalah masa paling sesuai untuk kami berehat dan mengambil keputusan untuk ke Eropah sebagai destinasi bulan madu kami," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fizo berkata, dia berhasrat untuk memiliki empat orang cahaya mata dan menyerahkan soal anak kepada rezeki.

Artikel Lain