suria

Masalah Masyarakat Jadi Sebab Berita TV3 Diminati

PETALING JAYA: Siaran program berita di TV3 kekal relevan di kalangan penonton selepas 27 tahun penyiarannya kerana liputan yang mendalam terhadap isu semasa dan masalah rakyat di negara ini.

Ketua Bahagian Berita TV3, Nasharudin Tajudin (gambar) berkata, formula itu menjadi teras kepada penerbitan berita berbahasa Malaysia iaitu Buletin Utama dan Nightline dalam bahasa Inggeris biarpun stesen itu berdepan persaingan daripada saluran berita alternatif lain.

"Berita di televisyen masih relevan walaupun kita sedar kemajuan teknologi memberikan banyak alternatif kepada masyarakat untuk memperoleh sumber berita.

"Liputan berita yang kita berikan cenderung kepada paparan terperinci terhadap masalah dihadapi rakyat dan itu membuatkan berita TV3 terus mendapat tempat," katanya kepada mStar Online.

Nasharudin ditemui pada majlis Sepetang Bersama Buletin Utama yang turut disertai 22 penyampai berita TV3 di Hotel One World, Bandar Utama di sini, petang Isnin.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa NTV7, TV8, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail.

Nasharudin berkata, kewujudan sumber alternatif berita di Internet dan stesen televisyen lain tidak menggugat kepercayaan penonton kepada berita TV3 khususnya Buletin Utama kerana kesahihan dan kekuatan paparannya.

"Persaingan media baru di Internet atau sumber berita stesen-stesen lain memang ada tetapi kita berbangga kerana Buletin Utama terus mengungguli.

"Tidak saya nafikan, pecahan kelompok penonton semakin besar berbanding lima atau 10 tahun dahulu tetapi berita kita terus menjadi pilihan utama kerana prestasi kita dalam menyampaikan berita," katanya.

Justeru, tambah Nasharudin, pihak penerbitan terus berusaha memaparkan persembahan berita yang kontemporari dan interaktif, selain memelihara kesahihan berita yang disampaikan.

"Penerbitan berita kita juga perlu berubah mengikut perkembangan semasa agar ia terus relevan di hati penonton.

"Berita bukan lagi bersifat komunikasi satu hala tetapi interaktif dengan penonton. "Sebab itu kita wujudkan akaun Twitter dan Facebook berita TV3 bagi mendapatkan respons dan sumber sesuatu berita atau isu," katanya.

Program Buletin Utama yang disiarkan pada pukul 8 hingga 9 malam setiap hari terus unggul sebagai pilihan utama waktu perdana dengan purata 2.6 juta tontonan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain