suria

Nelydia Senrose Belum Ada Kekasih

Nelydia Senrose tiada waktu untuk memikirkan soal mencari kekasih kerana sibuk dengan pengajian. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN
Nelydia Senrose tiada waktu untuk memikirkan soal mencari kekasih kerana sibuk dengan pengajian. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN
Nelydia Senrose tiada waktu untuk memikirkan soal mencari kekasih kerana sibuk dengan pengajian. - Foto oleh NORAFIFI EHSAN

PETALING JAYA: Pelakon muda Nelydia Senrose mengakui kesibukan jadual kuliah dan lakonan menyebabkan dia tidak mempunyai waktu untuk mencari kekasih.

Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 18, berkata, waktu yang terhad di antara jadual kelas pada setiap hari selain komitmen lakonan membataskan dirinya untuk mengenali teman istimewa.

“Saya belum ada kekasih kerana setiap hari saya akan sibuk dengan pengajian dan hanya berjumpa dengan rakan-rakan kuliah sahaja.

“Ketika cuti semester pula waktu saya terisi dengan jadual penggambaran. Saya hanya bergaul dengan para pelakon dan krew di lokasi dari siang sampai ke malam jadi masa bila hendak berkenalan dengan orang-orang lain?

“Lagi pun, saya masih terlalu muda untuk memikirkan mengenai teman istimewa,” katanya yang sedang menuntut di peringkat ijazah dalam jurusan Psikologi di Segi College.

Nelydia berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran terbaru berjudul Setia Hujung Nyawa di Sri Pentas Bandar Utama di sini, petang Jumaat.

Ditanya mengenai popularitinya yang belum menyerlah selepas lima tahun, Nelydia berkata, aspek itu tidak menjadi buruan pada waktu ini kerana dia mahu mengutamakan pengajian dahulu.

“Saya tidak kisah jika lambat dikenali kerana apa yang lebih penting pada waktu ini adalah pengajian saya di Segi College yang kini memasuki semester ketiga.

“Memang sebilangan besar artis muda bersaing kuat untuk popular tetapi saya percaya ia adalah rezeki masing-masing. Yang penting kena ikhlas bekerja soal cepat atau lambat popular.

“Orang akan nampak juga kerja kita kalau kita buat dengan bersungguh-sungguh,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik ini.

Mengenai drama bersiri sebanyak 28 episod itu, Nelydia berkata, watak utama sebagai Ersalina di samping aktor Amar Asyraf merupakan cabaran berat yang menuntut persiapan rapi daripadanya sebelum penggambaran bermula.

“Saya akui watak yang diberikan berat dan mencabar kemampuan saya. Sebagai Ersalina, saya perlu bermain watak yang kelihatan naif pada luaran tetapi sarat dengan emosi dan cerita di dalam dirinya.

“Peluang dalam drama ini sangat istimewa kerana pertama kali saya dapat peranan besar dan bergandingan dengan Amar Asyraf dan pengarah Amie Maziah yang banyak memberikan tunjuk ajar,” katanya.

Setia Hujung Nyawa yang turut membariskan antaranya Raja Ema, Zila Bakarin, Hilal Azman, Talha Harith dan Bea Rameshan akan ditayangkan bermula 24 Disember ini pada setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam menerusi slot Akasia di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain