suria

'Twilight' Kekal Ungguli Carta Selama Tiga Minggu

Pasangan sensasi Hollywood, Robert Pattison (kiri) dan Kristen Stewart terus bersatu dalam The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 1.
Pasangan sensasi Hollywood, Robert Pattison (kiri) dan Kristen Stewart terus bersatu dalam The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 1.
Pasangan sensasi Hollywood, Robert Pattison (kiri) dan Kristen Stewart terus bersatu dalam The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 1.

LOS ANGELES: Sekuel terbaru pontianak remaja, The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 1 kekal menjadi filem paling popular dan mengungguli carta kutipan pecah panggung di Amerika Syarikat untuk tiga minggu berturut-turut, kata satu kenyataan daripada industri pemamer, di sini, Isnin.

Menurut kenyataan berkenaan, kutipan filem itu dilaporkan menghampiri suku bilion dolar dengan kutipan keseluruhan sebanyak $246.9 juta sejak ia mula ditayangkan. Pada hujung minggu lalu sahaja, Twilight telah mengutip sebanyak $16.5 juta.

Kutipan tersebut sekaligus meletakkan kedudukan Twilight jauh meninggalkan filem di tangga kedua iaitu The Muppets dengan kutipan $11.1 juta.

Filem yang berinspirasikan karakter boneka Jim Henson itu telah mengaut sebanyak $56.4 juta selepas dua minggu tayangan.

Filem format 3D pertama pengarah veteran Martin Scorsese iaitu Hugo pula menyusul di tempat ketiga dengan kutipan hujung minggu sebanyak $7.6 juta.

Berada di tangga keempat carta pecah panggung minggu lalu adalah animasi Arthur Christmas.

Filem mengenai kisah anak lelaki kepada Santa yang berdepan cabaran untuk melengkapkan tugasan menghantar hadiah Krismas dalam masa satu malam itu berjaya mengutip $7.4 juta.

Sebuah lagi filem animasi kekeluargaan, Happy Feet 2 pula selesa di tangga kelima dengan kutipan sebanyak $5.9 juta.

Filem komedi Adam Sandler, Jack and Jill yang menyaksikan aktor itu menggalas dua watak iaitu eksekutif pengiklanan berjaya dan kakak kembar yang miskin akur di tangga keenam dengan kutipan $5.4 juta.

Tangga ketujuh carta jatuh kepada filem lakonan George Clooney, The Descendants dengan $4.8 juta, manakala filem epik 3-D berbajet besar, Immortals pula sekadar di tangga kelapan dengan kutipan $4.5 juta.

Dua kedudukan terakhir carta kutipan 10 teratas minggu lalu masing-masing berpihak kepada filem komedi aksi Tower Heist lakonan Eddie Murphy dan Ben Stiller sebanyak $4 juta di tangga kesembilan dan filem animasi Puss in Boots di tangga terakhir dengan kutipan $3 juta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain