suria

Anzalna Akui Sudah Ada Kekasih

Anzalna Nasir
Anzalna Nasir
Anzalna Nasir

PETALING JAYA: Tidak seperti kebanyakan selebriti lain yang sering berdolak-dalik mengenai hubungan cinta mereka, pelakon baru Nur Anzalna Nasir, 23, (Anzalna) sebaliknya tidak keberatan untuk mengakui dirinya sudah mempunyai kekasih.

Anzalna berkata dia tidak kisah untuk berterus-terang tentang cerita peribadinya termasuk soal cinta kepada khalayak kerana tidak mahu dianggap memperdayakan peminat.

“Saya tidak kisah jika orang tahu saya sudah berpunya atau sedang menjalin hubungan cinta. Lebih baik berterus-terang daripada berdolak-dalik kerana lambat-laun orang akan tahu juga cerita yang sebenar.

“Tiada apa yang rugi pun jika saya bercakap benar selagi ia tidak menjejaskan kerjaya seni saya,” katanya.

Anzalna berkata, lelaki bernama Hanif Zaki, 23, itu sudah dikenalinya sejak mereka berusia 17 tahun. Bagaimanapun, hubungan yang bermula sebagai sahabat itu hanya menjadi semakin serius, kira-kira empat bulan yang lalu.

“Kalau diikutkan sudah lama saya kenal dengan dia (kekasih). Sejak kami berusia 17 tahun lagi kami sudah mengenali antara satu sama lain tetapi hanya kebelakangan ini saja kami bersedia untuk menjalin hubungan yang lebih serius,” katanya.

Sementara itu, Anzalna berkata dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem sulungnya, Sepah The Movie di Johor Bahru, Johor sejak pertengahan bulan lalu.

Berkongsi pengalamannya membintangi filem komedi aksi itu, Anzalna mengakui sangat teruja kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan kumpulan Sepah yang sangat diminatinya.

“Saya terima tawaran berlakon dalam filem ini sebab saya sangat minat pada Sepah. Mereka (Sepah), pelakon lain seperti Jehan Miskin dan pengarahnya, MP Roslin banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar.

“Bukan saja saya tidak tertekan malah dalam kebanyakan babak yang melibatkan saya dan Sepah, pasti ia perlu dirakam dua atau tiga kali kerana saya tergelak besar dengan aksi dan mimik muka mereka,” katanya yang memegang watak Ayu Sofia.

Selain filem terbitan PTV Films Production itu, Tasha juga bakal memasuki set penggambaran drama Gemersik Kalbu untuk slot Akasia (TV3) di samping Aqasha dan Ayu Raudhah, bermula minggu ini.

Artikel Lain