suria

Cabaran Luar Biasa Adrian Jalaludin

Adrian Jalaludin mengakui kelemahannya dalam pertuturan bahasa Malaysia dan tidak pernha berputus asa untuk memperbaikinya. - Foto oleh SAUFI NADZRI
Adrian Jalaludin mengakui kelemahannya dalam pertuturan bahasa Malaysia dan tidak pernha berputus asa untuk memperbaikinya. - Foto oleh SAUFI NADZRI
Adrian Jalaludin mengakui kelemahannya dalam pertuturan bahasa Malaysia dan tidak pernha berputus asa untuk memperbaikinya. - Foto oleh SAUFI NADZRI

SEKALI imbas, pemuda bergelar Adrian Jalaludin (Adrian) ini bagai hadir ke pentas pengacaraan televisyen dengan pakej yang diidami ramai.

Hos yang sinonim dengan program-program sukan bola sepak di saluran Astro SuperSport ini tampak lengkap dengan susuk tinggi lampai, ketampanan paras rupa dan petah berbahasa Inggeris.

Kelebihan itu memang diakui dengan jujur dan rendah hatinya oleh empunya badan yang lahir daripada darah kacukan Melayu Minangkabau, Jerman, Belanda, Cina dan Pakistan ini.

Tika tanggapan itu disuakan, Adrian berkata, dia cukup bertuah dengan kelebihan tersebut kerana berpeluang untuk menikmati kepelbagaian budaya dan mentaliti berbilang bangsa menerusi keluarganya.

"Saya berpeluang untuk melihat dan menikmati kepelbagaian budaya Melayu, Minangkabau, Jerman, Cina, Pakistan dan Belanda secara langsung daripada keluarga besar saya sendiri.

"Ia satu pengalaman terbaik apabila kami dapat berkongsi latar budaya setiap bangsa dalam keluarga kami ketika bertemu pada musim-musim perayaan," terangnya dalam pertemuan bersama OopStarz!, Khamis lalu.

Pun begitu, di sebalik susuk fizikal, penampilan dan lenggok pertuturannya ala 'mat saleh' itu, Adrian berkata dia bukan Melayu celup atau mudah lupa asal-usul.

"Saya tidak malu untuk mengakui pertuturan bahasa Malaysia saya sangat teruk dan menyedihkan. Bukan mahu berbangga menggalas stigma umum yang sering melabelkan anak kacukan sebagai lupa daratan dan asal-usul.

"Kelemahan itu mahu saya perbaiki dari semasa ke semasa. Malah sehingga kini saya tidak pernah berhenti belajar menguasai bahasa Malaysia yang betul daripada sesiapa saja.

"Jiwa, pemikiran dan rutin hidup saya adalah seperti anak Melayu dan muslim yang lain cuma tidak fasih berbahasa Malaysia saja," sembangnya diselangi hilai-tawa.

Diejek kerana minat Manchester United

Menjadi orang popular memang ada baik dan buruknya. Selain dikenali ramai dan mendapat respons yang baik daripada peminat yang mengikuti program-program kendaliannya seperti Bola @ Mamak dan 442 Eurozone, dia juga tidak terlepas daripada pertikaian segelintir pihak.

"Jadi orang popular memang seronok. Saya gembira apabila mendapat respons dan pandangan penonton tentang topik atau tugasan saya selaku pengacara.

"Namun, saya juga tidak terlepas daripada pertikaian atau komen negatif segelintir pihak juga," katanya.

Sekadar memetik contoh terbaru, gara-gara keterbukaannya yang sering mencanangkan diri sebagai peminat tegar kelab bola sepak Manchester United (MU) ketika mengendalikan program, Adrian telah diejek oleh peminat Liverpool ketika pasukan itu berkunjung ke sini, baru-baru ini.

"Bayangkanlah, ketika Liverpool datang ke Malaysia untuk perlawanan persahabatan menentang Malaysia baru-baru ini, saya kena 'boo' oleh peminat fanatik kelab itu kerana mereka perasan muka saya adalah pengacara sukan yang meminati MU.

"Panik dan risau juga jadinya, lantas saya segera angkat kaki kerana tidak mahu sebarang perkara yang tidak diingini pula berlaku," luahnya yang mula meminati kelab tersebut sejak berusia lapan tahun lagi.

Cedera kerana sukan

Tidak telus rasanya jika Adrian sekadar mengendalikan pelbagai program sukan di televisyen jika dia bukan peminat sukan sejati.

Akuinya, dia memang pencinta sukan yang tegar. Bukan saja bola sepak dan Manchester United, Adrian turut aktif dalam sukan badminton, boling, bola tampar dan bola baling.

"Saya terlalu obses dengan sukan sejak kecil. Sebab itu, saya suka dengan bidang pengacaraan program sukan kerana ia memberikan satu kepuasan yang tiada tolok bandingnya.

"Penglibatan saya dalam pelbagai jenis sukan dapat menghilangkan tekanan kerja dan kehidupan serta memberikan tenaga," kongsinya.

Tambah Adrian, sikap obses terhadap sukan itu boleh dibaratkan seperti satu ketagihan pula. Cuma, ia ketagihan yang positif dan menyihatkan walaupun sering mendapat kecederaan dek ketaksubannya itu.

"Jika ada orang yang ketagih pada fesyen, muzik dan lain-lain, sukan adalah ketagihan buat saya. Saya aktif bersukan sejak kanak-kanak lagi sehinggakan saya tidak boleh kira jumlah kecederaan yang dialami gara-gara bersukan.

"Tulang bahu kanan saya pernah terkehel kerana terlalu taksub menghayun bola boling. Penglihatan mata kanan saya pula terjejas dan kabur secara kekal akibat kerosakan retina selepas terkena bulu tangkis ketika bermain badminton. Selain itu ligamen lutut kanan saya cedera sejak dua tahun lalu kerana bermain futsal dan masih belum pulih sehingga hari ini," katanya menguntumkan senyuman.

* Solekan CHIKA (019-6760153)

Artikel dipetik daripada sisipan OopStarz! dalam Mingguan mStar keluaran 14 Ogos 2011 yang diedarkan bersama akhbar Sunday Star di sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain