suria

Saksi Bawa Keluarga Ambil Gambar Norman Hakim

Norman Hakim dan Suhaiza Suhaimi(Memey) di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak, pagi Jumaat.
Norman Hakim dan Suhaiza Suhaimi(Memey) di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak, pagi Jumaat.
Norman Hakim dan Suhaiza Suhaimi(Memey) di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak, pagi Jumaat.

KUALA LUMPUR:Saksi ketujuh dalam kes perbicaraan khalwat Norman Hakim dan Memey Suhaiza iaitu Azhar Nordin, 42, yang juga bekas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkata, dia tidak dapat memastikan tarikh sebenar dia mengambil gambar lokasi insiden tersebut.

Ini kerana dia tidak mengambil foto pada masa kejadian dan hanya berbuat demikian beberapa hari penangkapan khalwat pasangan berkenaan.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dengan Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang pada 30 Oktober 2008, kira-kira pukul 3 pagi.

Ketika menjawab pertanyaan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Norman dan Memey dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie, Salehudin Yatim, pagi Jumaat, Azhar berkata, dia tidak merekodkan tarikh dia mengambil foto tersebut.

Azhar turut memberitahu mahkamah, dia pergi ke premis itu pada hari Sabtu bersama isteri dan dua anaknya untuk mengambil gambar tempat kejadian.

Semasa disoal balas oleh Fakhrul, Azhar yang kini bekerja sebagai pembantu tadbir di Sekolah Agama Lembah Jaya, Ampang, Selangor berkata, dia turut mengambil kesempatan merakamkan gambar Norman Hakim bersama ahli keluarganya di premis berkenaan.

Sehubungan itu, Azhar mengakui tindakan itu memperlihatkan dia seolah-olah kurang profesional membawa keluarga untuk merakamkan gambar ketika diarahkan oleh pihak atasannya iaitu Ustaz Rais.

Azhar juga turut memberitahu mahkamah dia bukanlah seorang juru gambar profesional manakala gambar-gambar yang diambil itu dihantar ke sebuah kedai gambar di Tesco, Ampang untuk diproses.

Ini kerana JAIS tidak mempunyai jurugambar khas dan sesiapa pegawai yang diarahkan oleh pihak atasan boleh menjadi jurugambar.

Norman dan Memey hadir ke mahkamah bersama peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan. Muhammad Nazri Basrawi ialah Pendakwa Syarie.

Perbicaraan disambung pada 15 April 2011.

Artikel Berikut

Artikel Lain