suria

Syamsul Tak Mahu Cinta Baru Disensasikan Lagi

Syamsul mengakui hatinya kini dimiliki seseorang. -Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Syamsul mengakui hatinya kini dimiliki seseorang. -Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Syamsul mengakui hatinya kini dimiliki seseorang. -Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

AKTOR dan pengarah muda, Syamsul Yusof pernah melalui episod duka apabila kisah cintanya dengan aktres Diana Danielle putus di tengah jalan, hujung tahun lalu. Namun, kekecewaan itu sama sekali tidak mematahkan semangat dan keinginan Syamsul untuk bercinta lagi.

Hari ini, jejaka berusia 25 tahun ini mengakui hatinya kembali dimiliki oleh seseorang. Usai sesi fotografi bersama pengarah berpotensi ini, Syamsul lantas diusik dengan pertanyaan mengenai kisah peribadinya.

Ternyata, Syamsul agak keberatan pada mulanya. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu lagi bercerita mengenai kisah peribadinya apatah lagi menyentuh soal cinta.

Namun, setelah dipujuk beberapa kali, anak bujang kepada jutawan filem Datuk Yusof Haslam ini, mula membuka mulut. Menurut Syamsul, dia kini sedang berkawan dengan seseorang.

"Kalau boleh, saya tidak mahu buka mulut lagi tentang perkara peribadi. Saya tidak mahu isu sebegini mengganggu privasi dan karier saya. Namun, saya akur dan menghormati tugas media.

"Memang saya akui hati saya kini dimiliki oleh seorang gadis. Kami sedang menyelami hati budi masing-masing dan setakat ini, kami serasi bersama," ujar Syamsul ringkas.

Menariknya, seseorang yang dimaksudkan itu telah pun dikenalinya sejak lima tahun yang lalu. Gadis itu telah menjadi sebahagian daripada kumpulan rakan-rakannya sebelum dia berpacaran dengan Diana Danielle lagi.

Namun, sebelum ini mereka hanya sekadar teman biasa. Malah, dia tidak pernah menyangka perasaan sayang dan kasih terhadap gadis itu mula berputik secara perlahan-lahan tanpa disedari sejak kebelakangan ini.

Syamsul yang enggan mendedahkan nama dan latar belakang bunga hatinya itu bagaimanapun bertegas bahawa dia lebih selesa kisah cintanya ini tidak disensasikan seperti yang sudah-sudah.

Bagi Syamsul, pengajaran daripada kisah 'hitam' yang pernah dilaluinya sebelum ini membuatnya lebih berhati-hati dalam membicarakan soal cinta.

"Saya selesa berkawan dengannya. Mungkin, kerana dia memahami dan menghormati diri saya dan dari situlah perasaan sayang itu makin menebal. Dia seorang gadis biasa dan bukannya daripada golongan artis.

"Apa yang boleh saya katakan, saya selesa berkawan dengannya. Kali ini, saya tidak mahu memikirkan terlalu serius tentang hala tuju hubungan kami. Tapi itu bukan bermakna, saya seorang playboy dan ingin mempermainkan hati perempuan.

"Cuma ketaksuban saya terhadap hubungan sebelum ini telah banyak mengajar saya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kini, saya selesa berkawan dan bahagia dengan keadaan sekarang.

"Dia seorang yang rasional, tenang dan bijak. Contohnya, apabila saya sedang marah, dia akan mendiamkan diri sehingga saya reda dan begitulah sebaliknya. Keserasian ini yang membuatkan saya semakin selesa dengannya.

"Saya ikhlas berkawan dengannya cuma kami tidak mahu terlalu serius dan taksub. Saya lebih selesa jika hubungan ini berlaku secara semulajadi. Seandainya ada jodoh, saya terima seadanya," katanya.

Sekadar mengimbas semula episod kegagalan cintanya dengan aktres jelita Diana Danielle kira-kira setahun yang lalu, Syamsul kelihatan menghela nafasnya dalam-dalam sebelum menyambung perbualan.

Menurutnya, dia sudah melupakan kisah duka itu sepenuhnya. Baginya, segala yang berlaku pada perhubungannya sebelum ini telah mematangkan dirinya menjadi insan yang lebih baik hari ini.

Malah, Syamsul turut mengakui pengalaman bercinta dengan aktres berdarah kacukan itu telah banyak mengajarnya menjadi lelaki yang lebih penyabar dan rasional.

"Kisah itu sudah saya lupakan. Saya tidak ada sebarang dendam atau memikirkan apa-apa lagi tentang perkara itu. Pada saya, yang sudah itu biarlah berlalu.

"Walaupun hubungan kami berakhir dengan kesudahan yang tidak baik, namun saya amat berterima kasih dan bersyukur kerana pernah berkawan dengannya.

"Jika sebelum ini, saya mudah 'naik angin' dan bersikap panas-baran, pengalaman bersama Diana banyak mengajar saya menjadi lebih penyabar dan tidak cepat marah berbanding sebelumnya," kata Syamsul seraya mempamerkan reaksi wajah yang tidak selesa.

Melihatkan reaksi tidak selesa daripada Syamsul untuk bercerita lanjut, topik perbualan lantas beralih kepada perkembangan kariernya.

Menurut Syamsul, filem bergenre aksi, Evolusi KL Drift 2 sudah siap sepenuhnya. Filem yang telah mendapat 'lampu hijau' daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) itu hanya menunggu slot tayangan dan dijangka menjengah pawagam sekitar Mac atau April 2010.

Dalam perkembangan lain, Syamsul kini sedang giat membuat persiapan untuk pembikinan filem terbaru juga yang keempat daripadanya berjudul Khurafat.

Filem bergenre seram yang kini berada di dalam proses pra-produksi itu bakal memperlihatkan sentuhan berbeza yang daripada pengarah ini. Khurafat dijadualkan memulakan penggambaran pada Januari depan dan bakal dibintangi oleh bintang-bintang muda seperti Sharifah Amani, Maya Karin, Remy Ishak dan Syamsul sendiri.

Selain Khurafat, tahun 2010 juga bakal menyaksikan kolaborasi Syamsul dan ayahnya, Datuk Yusof Haslam bagi menghasilkan sekuel filem sosial remaja

Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam yang telah mendapat kutipan pecah penggung sebanyak RM 4.14 juta tahun ini. Gandingan anak dan bapa ini dijadualkan turun ke lokasi filem Bohsia 2: Jalan Kembali di sekitar pertengahan tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain