suria

Mustapha Maarof 'Mengalah' Secara Profesional

ENAM tahun diberikan kepercayaan menerajui Persatuan Seniman adalah satu amanah yang perlu dipikulnya dengan penuh bertanggungjawab.

Walaupun dalam tempoh itu, Seniman pernah dikecam seperti dikatakan tidak 'buat kerja' dan tidak mempunyai 'fungsi' yang baik, tetapi sebagai presiden, Datuk Mustapha Maarof tetap bersemangat meneruskan agendanya dan tidak cepat melatah.

Justeru, apabila untuk penggal baru 2010/2011 dia tidak lagi menyandang jawatan tersebut setelah 'ditewaskan' oleh pelakon dan pengarah Harun Salim Bachik pada pemilihan ahli jawatankuasa sempena Mesyuarat Agung Seniman bagi penggal baru ini kelmarin, Mustapha tidak berasa kecewa.

Sekurang-kurangnya, kata Mustapha, dia sudah berjaya membawa Seniman ke satu tahap yang boleh dibanggakan walaupun selama ini tetap ada yang mempertikaikan.

"Tidak mengapalah...keadaan Seniman kini sudah stabil. Saya bangga mampu menjadikan Seniman diyakini oleh banyak pihak termasuklah kerajaan. Banyak projek juga sudah berjaya saya lakukan bersama Seniman.

"Sebagai contoh, walaupun urusan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih belum dibuat secara menyeluruh, tetapi ada golongan artis yang sudah mencarum secara sukarela.

"Memang ada beberapa lagi perjuangan saya yang belum sempat saya habiskan dan saya harap ia dapat diteruskan oleh Harun dan barisan AJK yang lain," kata Mustapha.

Harun dipilih sebagai presiden Seniman yang baru bagi penggal ini setelah menang tipis sebanyak 78 undian berbanding Mustapha yang mendapat 74 undian pada pemilihan yang berlangsung di Pawagam Mini P.Ramlee, Kompleks Finas, Hulu Klang, kelmarin.

Jawatan Timbalan Presiden pula disandang oleh pelakon Shahriza Mahmud setelah Ahmad Idham sendiri melepaskan jawatan itu.

Pengarah Yusof Kelana masih kekal sebagai Setiausaha Kehormat manakala pelakon senior, Zulkifli Ismail dilantik sebagai Penolong Setiausaha yang sebelum ini dipegang oleh pelakon Sabree Fadzil.

Wafa Tan Sri Abdul Kadir pula dilantik sebagai Bendahari untuk penggal ini menggantikan Abu Bakar Omar. Sementara itu, barisan AJK Seniman pula terdiri daripada Faizal Hussein, Zed Zaidi, Jehan Miskin, Serina Redzuawan, Rena Tan, Abbas Bakar dan Wazata Mohd Zin.

Ditanya mengapa dia tidak mahu melepaskan jawatan tersebut tanpa perlu bertanding lagi memandangkan dia sudah agak lama memegang posisi tersebut, kata Mustapha, dia masih bersemangat untuk bertanding kerana memikirkan tanggungjawabnya yang belum lagi selesai.

Malah, pelakon berusia 75 tahun itu juga tidak merasakan dirinya 'disabotaj' atau 'dikhianati' mana-mana pihak setelah gagal mempertahankan jawatan presiden itu.

"Saya bukannya ahli politik. Walaupun saya kalah hanya dengan empat undian, saya tetap akur dengan keputusan tersebut dan tidak perlulah saya mempertikaikannya. Lagipun selama ini, saya hanya menjalankan tugas saya.

"Saya bersyukur kerana telah dikurniakan pasukan yang baik selama saya memegang jawatan presiden. Apapun, saya masih lagi ahli Seniman seumur hidup. Malah, saya tidak menolak kemungkinan untuk bertanding semula pada penggal-penggal akan datang jika ada yang mahukan saya kembali," kata Mustapha.

Ujarnya lagi, dia yakin presiden dan AJK Seniman kali ini mampu meneruskan agenda persatuan ini dan pada masa yang sama, tampil dengan idea bernas dalam usaha membela nasib artis-artis tanahair.

"Saya mendoakan yang terbaik dan saya harap mereka ada fokus tersendiri. Saya percaya, golongan muda yang terpilih menjadi AJK mampu menolong persatuan ini.

"Malah, ketika saya membawa Ahmad Idham masuk di dalam Seniman dulu pun kerana saya ingin mendapatkan idea golongan muda untuk membangunkan persatuan. Cuma kali ini, Idham tidak lagi bertanding kerana komitmen terhadap kerja-kerjanya," kata Mustapha.

Ditanya tentang perancangannya selepas ini, ujar Mustapha, dia ketika ini sedang di dalam perancangan untuk menganjurkan Festival Filem Klasik di Pulau Pinang dan buat masa ini, perkara itu sedang diperbincangkan.

"Ini apa yang saya rancangkan sejak dulu yang turut mendapat sokongan oleh rakan-rakan artis lama seperti Senator Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datuk Aziz Sattar.

"Tujuan festival ini diadakan adalah untuk mengembalikan semula kegemilangan filem-filem lama. Ia juga akan membabitkan pihak-pihak tertentu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain